Wanita maut terjatuh dari tingkat lapan hotel di PD

PORT DICKSON - Seorang wanita berusia 26 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di sini dalam kejadian pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 6.30 petang.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke bahagian balkoni di tingkat satu hotel berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan 'bucket stretcher' untuk membawa turun mangsa.
"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Port Dickson.
"Kes tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin mengesahkan laporan berhubung kejadian.
“Kami baru memulakan siasatan. Buat masa ini, saya belum dapat berkongsi maklumat lanjut.
“Maklumat lanjut mengenai kes akan diberikan selepas proses bedah siasat selesai,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

