Wanita maut jatuh hotel: Terdapat kesan hirisan pada tangan mangsa

PORT DICKSON - Terdapat beberapa kesan hirisan pada tangan seorang wanita tempatan berusia 26 tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di Jalan Seremban Taman Tanjung di sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang telah berkahwin menginap di hotel berkenaan sejak Rabu.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.06 petang pada hari sama.
"Pemeriksaan dalam bilik hotel mendapati semua barangan peribadi mangsa dalam keadaan baik dan tiada kesan pencerobohan atau pintu dipecahkan.
"Sementara pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan hirisan pada tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil bedah siasat turut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
“Kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Pada Khamis Sinar Harian melaporkan mangsa ditemukan terbaring pada balkoni di tingkat satu hotel berkenaan selepas dipercayai terjatuh dari bilik hotelnya pada Rabu.
Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan ‘bucket stretcher’ untuk membawa turun mangsa.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Port Dickson.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

