Sultan Nazrin rasmi Masjid Tuminah Hamidi

Sultan Nazrin (tengah) menyempurnakan penanaman pokok bunga tanjung sebagai simbolik perasmian Masjid Tuminah Hamidi di sini, pada Isnin.
Sultan Nazrin (tengah) menyempurnakan penanaman pokok bunga tanjung sebagai simbolik perasmian Masjid Tuminah Hamidi di sini, pada Isnin.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Masjid Tuminah Hamidi di sini, pada Isnin.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira jam 7.08 malam disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan upacara menanam pokok bunga tanjung sebagai simbolik perasmian masjid tersebut sebelum menyertai bacaan doa selamat serta berbuka puasa bersama lebih 2,500 hadirin.

Baginda turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyantuni dan menyumbang duit raya kepada 300 pelajar tahfiz dan anak yatim yang hadir.

Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada tahun 2017 dan menelan kos sebanyak RM53 juta, sumbangan dana oleh Yayasan Al-Falah.

Projek ini merupakan ilham dan idea daripada Ahmad Zahid yang dinamakan sempena nama ibu bapa beliau iaitu Almarhum Raden Hamidi Abdul Fatah dan Almarhumah Tuminah Abdul Jalil.

Kompleks Masjid Tuminah Hamidi berkeluasan lantai 8,870 meter persegi dan boleh memuatkan sehingga 5,000 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada bahagian masjid, kompleks ini turut dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran serta bilik persidangan dua tingkat.

Kompleks Masjid Tuminah Bagan Datuk berkonsepkan masjid terapung di tepian Sungai Perak.

Masjid ini merupakan masjid terapung yang ketiga di Perak selepas Masjid Al-Badr Pulau Pangkor dan Masjid Kampung Telaga Nenas Ayer Tawar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!