Matrikulasi berdasarkan merit perlu diteruskan

Pelajar yang mendapat gred A- masih dibenarkan memohon ke program matrikulasi dan akan dinilai mengikut proses saringan biasa. Gambar hiasan
Pelajar yang mendapat gred A- masih dibenarkan memohon ke program matrikulasi dan akan dinilai mengikut proses saringan biasa. Gambar hiasan
A
A
A

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengehadkan kemasukan automatik ke program matrikulasi kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A+ dan A penuh adalah satu dasar yang berani, wajar dan berpaksikan prinsip meritokrasi.

Sebagai laluan utama ke peringkat pengajian tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), program matrikulasi sewajarnya didahulukan kepada pelajar paling cemerlang, demi memastikan negara melahirkan tenaga pakar yang benar-benar layak dan kompeten.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa pelajar yang mendapat gred A- masih dibenarkan memohon ke program matrikulasi dan akan dinilai mengikut proses saringan biasa.

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa sistem ini tidak eksklusif, tetapi bersifat terbuka dan adil, tertakluk kepada keupayaan akademik dan merit setiap calon.

Realitinya, 86 peratus pelajar hanya mengambil sembilan subjek dalam SPM, manakala hanya 14 peratus mengambil sepuluh. Maka, amat penting untuk memastikan sistem penilaian tidak hanya berpaksikan kuantiti subjek semata-mata, sebaliknya melihat kepada kualiti pencapaian.

Tindakan KPM juga selaras dengan keperluan untuk memastikan standard kecemerlangan tidak tergugat. Memberikan laluan automatik kepada pelajar 10A+ dan A penuh tidak bermaksud menolak pelajar A-, tetapi menetapkan satu aras penanda untuk tempat yang amat terhad.

Tambahan pula, faktor bukan akademik seperti PAJSK (Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) turut diambil kira.

Ini memberi isyarat jelas bahawa KPM tidak meminggirkan aspek pembangunan sahsiah dan keseimbangan pelajar secara menyeluruh.

Sistem pendidikan negara perlu berani menegakkan dasar yang mungkin tidak popular, tetapi perlu untuk keadilan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Jika semua pelajar yang mendapat A- ke atas diberikan tempat secara automatik, maka konsep merit itu sendiri akan kehilangan makna. Tidak semua yang lulus dapat tempat ke kursus perubatan begitu juga program matrikulasi.

Tanggungjawab kerajaan bukan sahaja mendengar keluhan rakyat, tetapi juga memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan data, kapasiti dan keperluan masa depan negara.

KPM telah memilih untuk mendukung prinsip merit dan prinsip ini, jika dipertahankan, akan menjadikan sistem pendidikan negara lebih berkualiti, berintegriti dan dihormati.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!