'Kami janji jadi pembangkang yang baik'

FB: "Sultan Nazrin harap walaupun kami tidak lagi dalam kerajaan, tapi masih lagi memberikan sumbangan dalam pelbagai cara" - Datuk Asmuni Awi
FB: "Sultan Nazrin harap walaupun kami tidak lagi dalam kerajaan, tapi masih lagi memberikan sumbangan dalam pelbagai cara" - Datuk Asmuni Awi
A
A
A

IPOH - Tujuh bekas Exco Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak ikrar untuk menjadi pembangkang yang baik susulan pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata, ia selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu kesemua bekas Exco terus bersedia membantu kerajaan.

"Baginda mengharapkan walaupun kami tidak lagi dalam kerajaan, kita masih lagi memberikan sumbangan dalam pelbagai cara.

"Jadi Insya-ALLAH, kami akan jadi pembangkang yang baik. Yang penting dalam keadaan ini, kita terus dapat menunaikan apa yang boleh," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Terdahulu, bekas Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri itu bersama enam bekas Exco yang lain dipanggil menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta.

Beliau berkata, dalam pertemuan berlangsung selama 15 minit itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan terima kasih atas segala perkhidmatan yang disumbangkan selama tempoh 20 bulan sejak kerajaan PH ditubuhkan.

"Kami di sini tidak berasa kecewa dan akan menunaikan apa yang boleh seperti dikehendaki oleh tuanku," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Ketua Pembangkang, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak itu berkata, ia akan diputuskan kemudian menerusi mesyuarat bersama rakan komponen lain.

Artikel Berkaitan:

Bekas Exco lain yang hadir menghadap ialah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Tan Kar Hing, Howard Lee Chuan How, Wong May Ing, A Sivanesan dan Dr Abdul Aziz Bari.

Pada Mei 2018, kerajaan PH Perak melantik 10 Exco, namun tiga daripadanya iaitu Datuk Yunus Jamhari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkarnain Abdul Munaim (Amanah) dan Paul Yong Choo Kiong (DAP) baru-baru ini umum keluar parti dan menyokong pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional.