Dr Zaliha tepis tanggapan negatif terhadap Kota Madani

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan projek pembangunan Kota Madani di Presint 19 bukan satu pembaziran atau usaha menggantikan Putrajaya seperti yang didakwa segelintir pihak.

Jelasnya, Kota Madani hanya sebahagian kecil daripada kawasan Putrajaya dengan keluasan hanya 102 ekar, bersamaan 0.8 peratus daripada keseluruhan Putrajaya.

"Sejak pengumuman awal tempoh hari, saya perhatikan banyak persoalan dan salah tanggapan timbul. 

"Jadi, saya nak betulkan sedikit dengan fakta sebenar," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya pada Rabu.

Ujar beliau, pembangunan tersebut dibuat menerusi konsep kerjasama awam-swasta atau Build-Lease-Maintain-Transfer (BLMT) yang tidak melibatkan perbelanjaan langsung kerajaan.

Katanya, kos pembangunan berjumlah RM4 bilion itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju iaitu Putrajaya Holdings, termasuk kos penyelenggaraan sepanjang tempoh pajakan.

"Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik kerajaan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pembinaan Kota Madani adalah satu keperluan memandangkan terdapat lebih 17,000 permohonan kuarters penjawat awam yang masih belum dapat dipenuhi.

"Kota Madani akan sediakan 10,000 unit kuarters baharu untuk penjawat awam. Ini bukan soal kehendak, tapi soal keperluan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjelaskan mengenai penggunaan nama Madani, beliau menegaskan ia bukan satu label politik sebaliknya merujuk kepada nilai kemanusiaan, keadilan, keseimbangan dan kelestarian.

"Kota Madani ini dibangunkan selari dengan visi bandar CHASE, iaitu bandar yang bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam.

"Ada juga elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi terkini," katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa penjawat awam layak menerima kemudahan perumahan yang baik dan Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang inklusif dan berwawasan.

"Jangan terus kelirukan rakyat dengan naratif yang salah," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!