X

Kindly register in order to view this article
!

Ulama Kelantan maut dalam kemalangan ke masjid

Keadaan kereta Perodua Viva setelah terbabit kemalangan. Gammbar kecil: Abdullah Al Qari
A
A

KOTA BHARU - Ulama terkenal Kelantan yang juga pengasas Sekolah Rendah Islam Al Qari Kubang Kerian, Abdullah Al-Qari Salleh maut akibat kemalangan ketika perjalanan menyampaikan ceramah di di Kubang Kerian pagi tadi.

Mangsa berusia 82 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas kereta jenis Toyota Corolla dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Viva kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika Abdullah memandu kereta dari rumahnya di Lorong Kubur Tok Kenali menghala Masjid Taman Al-Qari untuk menghadiri ceramah.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Abdullah dipercayai membuat pusingan U dan berlanggar dengan sebuah kereta dari arah Peringat menghala ke Kota Bharu.

"Akibat perlanggaran itu, Abdullah tersepit di dalam kereta dan mengalami patah tulang rusuk kanan manakala pemandu Perodua Viva berusia 38 tahun patah kaki kanan dan cedera bahagian badan," katanya.

Kereta Toyota Corolla dipandu Abdullah remuk selepas terbabit kemalangan.
Kereta Toyota Corolla dipandu Abdullah remuk selepas terbabit kemalangan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa menaiki ambulans ke HUSM Kubang Kerian untuk rawatan.

"Bagaimanapun Abdullah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Siasatan sepenuhnya masih dilakukan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, rakan Allahyarham Abdullah, Razhan Abdul Manaf memberitahu, Allahyarham sentiasa menyebut-nyebut mahu meninggal dunia pada hari Isnin atau Khamis.

“Arwah pun sentiasa amal berpuasa setiap Isnin dan Khamis selain selalu berkata mahu meninggal antara dua hari itu.

“Malam tadi dia mengajar berkaitan kematian dan hari ini ALLAH makbulkan doa dia meninggal hari Khamis,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus