Anak mendiang Karpal Singh tarik balik rayuan saman

Sangeet Kaur Deo
Sangeet Kaur Deo
A
A
A

PUTRAJAYA - Anak mendiang Karpal Singh hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman yang difailkan terhadap bekas Ketua Hakim Negara berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan yang dihadapi bapanya dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

Sangeet Kaur Deo yang merupakan seorang peguam, ketika dihubungi berkata, dia telah memfailkan notis pemberhentian rayuan itu pada 9 Mac.

Rayuan Sangeet dijadual didengar di Mahkamah Rayuan hari ini.

"Saya telah memutuskan untuk menarik balik rayuan kerana aduan saya yang berkaitan dengan salah laku kehakiman masih belum selesai di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf yang masih belum menjawab surat saya bertarikh 7 Januari 2020," katanya.

Peguam itu juga menggesa kerajaan semasa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku kehakiman.

Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang difailkan Sangeet atas dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan yang dihadapi mendiang bapanya.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada 14 Februari 2019, memfailkan afidavit mengandungi 63 halaman untuk menyokong saman pemula yang difailkan Sangeet.

Dalam saman pemula itu, Sangeet memohon, antara lain, suatu deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan itu apabila gagal melengkapkan siasatan berkaitan dua dakwaan campur tangan badan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan pertama adalah berhubung keputusan rayuan mendiang bapanya dalam kes hasutan manakala dakwaan kedua dalam kes penukaran agama melibatkan anak guru tadika M Indira Gandhi.

Pada 29 Mac 2019, Mahkamah Persekutuan membebaskan mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan hasutan kerana didakwa mempersoalkan tindakan Almarhum Sultan Perak berkaitan krisis negeri Perak.

Mahkamah itu memutuskan terdapat salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan oleh sebab kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaan (Karpal Singh) itu.

Karpal Singh yang merupakan bekas peguam terkemuka dan bekas pengerusi DAP kebangsaan, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung pada 17 April 2014.- Bernama