Budak 2 tahun dalam pelukan datuk terselamat kemalangan ngeri

Kereta yang menjadi mangsa kecuaian pemandu lori tersebut. Sumber foto GMA News
Kereta yang menjadi mangsa kecuaian pemandu lori tersebut. Sumber foto GMA News
A
A
A

FILIPINA - Seorang kanak-kanak dua tahun terselamat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Utara Luzon (NLEX), Marilao, Bulacan, Filipina, selepas dipeluk erat oleh datuknya ketika impak kejadian.

Menurut laporan ABS-CBN, insiden yang berlaku pada Rabu lalu itu melibatkan sebuah lori treler 18 tayar melanggar bahagian bawah jejambat jambatan di lebuh raya berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, rasuk jambatan jatuh dan menghempap bahagian hadapan sebuah kereta yang berada di laluan bersebelahan lori terbabit, menyebabkan kenderaan yang membawa tujuh sekeluarga itu terbalik ke sebelah kanan.

Susulan itu, pemandu dan enam penumpang dikejarkan ke Hospital Joni Villanueva bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, seorang ahli keluarga yang juga lelaki berusia 54 tahun dikenali sebagai Bong Chua, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

Ketua Polis Marilao, Leftenan Kolonel Eulogio Lamqui III berkata, Chua sempat memeluk cucunya semasa kejadian bagi melindungi kanak-kanak itu.

“Ketika kemalangan berlaku, dia memeluk kanak-kanak itu dan terus berbuat demikian walaupun kereta terbalik, menyebabkan cucunya terselamat,” katanya kepada ABS-CBN.

Difahamkan, keluarga tersebut dalam perjalanan dari Paranaque ke Baguio untuk melawat saudara-mara mereka.

Empat daripada enam ahli keluarga yang terselamat masih menerima rawatan di hospital.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pemandu lori yang dikenali sebagai Roy Taporco Macalisang, 31, kini ditahan di Balai Polis Marilao.

Dia telah memohon maaf kepada keluarga mangsa dan menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Dalam temu bual bersama GMA News, Macalisang berkata, dia tidak menyangka lori itu akan tersangkut pada jambatan kerana laluan itu sering digunakan setiap hari.

“Namun, pada hari kejadian, saya menggunakan casis (kerangka utama kenderaan berat) berbeza yang tidak diukur ketinggiannya terlebih dahulu,” jelasnya.

Macalisang kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk kecuaian yang menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, Polis Marilao masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Difahamkan, jambatan yang sama pernah dilanggar oleh sebuah lori awal tahun ini sehingga menyebabkan kerosakan struktur yang teruk.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!