Medan selera bakal diroboh, Pantai Murni hilang seri

Medan selera Pantai Murni memudahkan pengunjung membuat pilihan pelbagai jenis makanan disediakan. Gambar kecil: Faizul, Adila dan Syafika
Medan selera Pantai Murni memudahkan pengunjung membuat pilihan pelbagai jenis makanan disediakan. Gambar kecil: Faizul, Adila dan Syafika
A
A
A

ARAHAN merobohkan premis medan selera Pantai Murni di Yan, Kedah menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap tarikan di lokasi tumpuan ramai terbabit, tambahan pula kempen Tahun Melawat Kedah 2025 masih berlangsung.

Ketiadaan medan selera yang dibuka kepada pengunjung dengan menyediakan pelbagai jenis menu makanan dan minuman dijangka menjejaskan kemudahan dinikmati orang ramai selama ini.

Kerja-kerja merobohkan premis berkenaan yang dikatakan akan dilaksanakan dalam masa terdekat juga berkemungkinan menyebabkan suasana pantai menjadi suram.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA yang meninjau lokasi berkenaan Ahad lepas.

PANORAMA petang di Pantai Murni sering menjadi lokasi riadah popular kepada warga tempatan dan pelancong luar. Bukan itu sahaja, pengunjung turut menjadikan medan selera yang terdapat situ untuk menikmati pelbagai hidangan dan minuman.

Bagaimanapun, kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria menerusi sebuah portal media sebelum ini bahawa medan selera milik Majlis Daerah Yan itu bakal dirobohkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada pembangunan dan wajah baharu telah menimbulkan pelbagai reaksi.

Penduduk dan pengunjung meluahkan kebimbangan terhadap kemungkinan berkurangnya daya tarikan lokasi itu sekali gus memberi kesan kepada jumlah kedatangan pelancong.

Pengunjung, Faizul Mohamed, 25, dari Perak berkata, ketiadaan medan selera berdekatan pantai berpotensi menjejaskan jumlah pengunjung.

“Kebiasaannya, orang datang ke kawasan riadah seperti pantai bukan setakat hanya untuk menikmati pemandangan, tetapi juga untuk menjamu selera.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tiada kedai makan, rasa macam tidak lengkap,” katanya.

Medan selera ini menjadi menjadi pilihan pengunjung yang datang bersama keluarga ke Pantai Murni.
Medan selera ini menjadi menjadi pilihan pengunjung yang datang bersama keluarga ke Pantai Murni.

Sementara itu, Adila Abdullah, 29, dari Guar Chempedak turut berkongsi pandangan sama. Menurutnya, medan selera yang sedia ada menambah kemeriahan dan menjadi antara faktor kunjungan ke Pantai Murni.

“Saya rasa, kalau mahu tarik lebih ramai pelancong, kemudahan seperti ini perlu dikekalkan dan dipertingkatkan, bukan dirobohkan,” katanya ketika ditemui bersama ibu dan anaknya yang masih kecil.

Difahamkan, Pantai Murni yang turut dilengkapi tandas awam dan taman permainan kanak-kanak itu sering menjadi pilihan untuk aktiviti rekreasi, menyaksikan pemandangan senja, merakam gambar berlatar pulau- pulau kecil sekitar, serta lokasi penggambaran pasangan pengantin.

Purata kehadiran pengunjung mencecah 500 orang setiap hari dan boleh mencecah lebih 1,000 orang pada hujung minggu.

Seorang lagi pengunjung, Syafika Rosli, 31, dari Merbok berkata, walaupun terdapat kiosk di pesisir pantai, ia hanya menawarkan makanan ringan.

Menurutnya, kiosk sedia ada biasanya jual makanan dan minuman ringan sahaja.

Tetapi di medan selera tawarkan hidangan lebih berat seperti nasi goreng dan lauk-pauk, sesuai untuk keluarga.

“Kalau medan selera di sini dirobohkan pengunjung mungkin terpaksa bawa bekal.

“Itu menyusahkan dan mungkin orang tak datang lagi ke sini,” ujarnya.

Sepatutnya naik taraf, bukan roboh

Penduduk tempatan, Natasha Nasri, 21, dari Sungai Petani pula berpandangan, walaupun medan selera sedia ada kelihatan usang, ia masih memainkan peranan penting sebagai tarikan pengunjung.

Beliau mengakui kios yang disediakan kini memenuhi cita rasa generasi muda dengan menjual makanan ringan, namun berharap medan selera itu dikekalkan atau dibangunkan semula dengan lebih moden.

“Lebih baik tambah baik dan naik taraf mengikut keperluan semua lapisan masyarakat, bukan roboh terus sebab itu satu pembaziran,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi warga tempatan Shukor Ayob, 60, berkata, dia tidak bersetuju dengan cadangan merobohkan medan selera itu, kerana ia memberi peluang perniagaan kepada penduduk serta kemudahan buat pengunjung yang datang.

“Sejak dari dulu lagi, saya lihat medan selera ini memang bantu ekonomi setempat. Kalau dirobohkan, tiada lagi tempat berniaga.

“Bangunan ini dah lama, tapi fungsinya masih relevan. Lebih baik tingkatkan kemudahan, bukannya robohkan terus,” ujarnya.

Menurut Shukor, lokasi itu juga berperanan sebagai tempat berlindung sekiranya berlaku cuaca buruk dan fenomena air pasang besar.

“Jika ada bangunan, pengunjung boleh tumpang berteduh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!