[VIDEO] Roboh medan selera kerana mahu Pantai Murni lebih cantik - Exco
YAN – Cadangan merobohkan Medan Selera Pantai Murni bertujuan mencantikkan lokasi pelancongan tersebut, selain mewujudkan dataran yang lebih luas bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pada masa hadapan, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, ia juga bermatlamat menaik taraf kemudahan berkenaan yang dilihat sudah berusia.
Menurutnya, berdasarkan perancangan yang dimaklumkan oleh Majlis Daerah Yan, medan selera itu bakal dirobohkan dan kawasan terbabit akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada penganjuran program yang berimpak tinggi.

“Perancangan membina tapak kosong supaya boleh merancang pelbagai aktiviti dan mewujudkan ruang yang lebih luas...yang saya faham begitu, macam-macam diberi cadangan, cuma saya tak boleh beri kata putus memandangkan ini adalah di bawah Majlis Daerah Yan.
“Yan kawasan pelancongan, kita pun berhasrat nak cantikkan lokasi pelancongan tempat orang ramai. Kita perlukan kerja-kerja naik taraf, bila tempat tak sempurna, orang nak tumpu tu kuranglah,” katanya.
Bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut, jelas beliau, peniaga sedia ada yang beroperasi di medan selera itu akan ditawar berpindah ke premis lain milik Majlis Daerah Yan.
“Peniaga lama difahamkan akan ditawar kedai kosong di tempat lain, mereka akan berpindah ke kedai kosong milik majlis. Bila naik gerai baharu tepi pantai dan kios, mereka akan ditawar semula.
“Pada awalnya ada bantahan, sebab itu saya jumpa ahli majlis. Mereka dah beri penerangan kepada penyewa, namun secara asasnya peniaga tidak boleh bantah sebab premis milik majlis, mereka menyewa di situ, jadi bila majlis nak buat perancangan (pembangunan), perlu akur,” jelasnya.

Bagaimanapun, jelas Mansor, nasib peniaga medan selera itu tidak akan dipinggirkan, malah sekiranya terdapat kekosongan premis pada masa hadapan, permohonan mereka akan diutamakan.
“Cuma saya bincang dengan majlis sebelum ini, kena bagi tempat berniaga sebab mereka dah korbankan mata pencarian, jadi bila dah buat baharu, kena bagi tempat itu untuk berniaga...perlu beri keutamaan kepada mereka.
“Kalau nak roboh tetapi tidak benarkan berniaga, kasihan mereka. Itu yang dibincangkan bersama pihak Majlis Daerah Yan sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, perpindahan peniaga ke tempat baharu adalah bersifat sementara bagi membolehkan kerja-kerja meroboh dan membangunkan kawasan itu dilaksanakan.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa Medan Selera Pantai Murni yang terletak di tepi pantai di sini akan dirobohkan dalam masa terdekat bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan.
Bagaimanapun, tinjauan yang dilakukan ke atas pengunjung dan penduduk tempatan mendapati, pelaksanaan kerja-kerja meroboh itu dibimbangi akan mengganggu kempen Tahun Melawat Kedah 2025 yang kini sedang berlangsung, sekali gus menyebabkan kemerosotan jumlah pelancong buat masa ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

