Gagal memotong, pemandu maut kereta bertembung treler

Keadaan treler terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kereta. Gambar kecil: Keadaan Proton Wira dipandu mangsa yang maut.
Keadaan treler terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kereta. Gambar kecil: Keadaan Proton Wira dipandu mangsa yang maut.
A
A
A

PORT DICKSON – Seorang pemandu Proton Wira maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah treler ketika cuba memotong di garisan berkembar dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Lukut–Sepang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson,Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang melibatkan tiga kenderaan iaitu Proton Wira dipandu mangsa berusia 51 tahun, sebuah treler jenis Scania G400, dan sebuah Proton Saga.

“Siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong di garisan berkembar namun tidak sempat dan bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

“Treler berkenaan cuba mengelak ke bahu jalan tetapi pelanggaran tetap berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muatan tong gas bertaburan selepas treler terbalik.
Muatan tong gas bertaburan selepas treler terbalik.

Katanya, impak perlanggaran menyebabkan treler tersebut terbabas dan terbalik, sebelum muatan tong gas yang dibawa tercampak dan terkena Proton Saga.

“Pemandu Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemandu treler berusia 44 tahun mengalami kecederaan ringan di kepala dan siku kiri, manakala pemandu Proton Saga berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut sedang diteruskan termasuk mengambil keterangan semua pihak yang terlibat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syed Mohd Naim Syed Wahid di talian 014-5030810.

“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, khususnya larangan memotong di garisan berkembar yang boleh membawa risiko kemalangan maut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!