Pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi, warga emas maut kereta bertembung

KOTA TINGGI – Dua individu maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 10.3, Jalan Kota Tinggi-Kluang, pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.10 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi berusia 20 tahun memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Nissan Almera yang dinaiki pasangan warga emas berusia 71 dan 68 tahun.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan Nissan Almera yang juga seorang suri rumah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, beliau berkata, pemandu Nissan Almera berusia 71 tahun mengalami kecederaan patah rusuk dan kini mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan.
"Sehubungan itu, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

