Bapa harap dapat raya haji bersama Eda Ezrin

Erda Ezrin.
Erda Ezrin.
A
A
A

KOTA BHARU - Bapa penyanyi dikir barat Wan Norshaheeda Azlin atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin berharap dapat menyambut Hari Raya Aidiladha bersama anak perempuannya itu selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat melanjutkan tempoh tahanan anaknya selama 30 hari lagi bermula 6 April lepas.

Wan Ismail Wan Yusuf, 52, berkata, keluarganya telah menerima hakikat bahawa Eda tidak dapat beraya Aidilfitri bersama mereka namun berharap Aidiladha nanti membawa sinar baharu.

"Keluarga juga ada merancang mengadakan kenduri kesyukuran bersama kelab peminat selepas pembebasan Eda,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Beliau meluahkan rasa pilu apabila menerima sepucuk surat tulisan tangan anaknya yang disampaikan oleh seorang wartawan yang melawat Eda di penjara baru-baru ini.

"Membaca surat itu terasa seperti dia berada di depan mata. Sayu sebab saya tak sempat berjumpa dengannya semasa raya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat wanita popular ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di pekan Golok pada 1 November tahun lepas kerana didakwa memiliki lebih 6,000 biji pil kuda. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!