'Hanya beberapa saat, bumbung rumah hilang'

YAN - Sebuah keluarga di Kampung Singkir Laut di sini berdepan detik cemas apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut kira-kira jam 8.45 malam, Isnin.
Mangsa, Md Nazri Abu Bakar, 55, berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dari luar rumah.
“Ketika itu kami sedang berehat sambil menonton televisyen, namun tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat kuat.
“Hanya beberapa saat kemudian, habis zink dan kerangka kayu bumbung rumah hilang diterbangkan angin,” katanya.
Md Nazri dan isterinya, Ramalini Lamsur, 49, tergamam dan tidak sempat berbuat apa-apa selain hanya mampu melihat kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan, bersyukur kerana mereka sekeluarga termasuk dua anak lelaki berusia 31 dan 16 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian tersebut merupakan pengalaman pertama yang dialami keluarga itu dan dianggarkan kerugian mencecah ribuan ringgit.
Ribut pada malam Isnin itu turut menyebabkan kira-kira 24 buah rumah penduduk di daerah Yan terjejas.
Selain Yan, sembilan lagi daerah di Kedah turut dilaporkan mengalami kejadian sama melibatkan kerosakan rumah akibat dihempap pokok tumbang dan laluan terhalang.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima laporan berkaitan kejadian ribut di 10 daerah di Kedah.
Timbalan Pengarah APM Negeri Kedah, Mejar (PA) Suhaimi Mohd Zain berkata, antara daerah terjejas ialah Sik, Padang Terap, Pendang, Kota Setar, Yan, Kubang Pasu, Langkawi, Baling, Kuala Muda dan Pokok Sena.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

