Ops Khas JISA: JPJ audit 50 syarikat kenderaan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR - Sebanyak 50 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) yang berisiko tinggi telah selesai diaudit oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Isnin.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, proses audit penguatkuasaan Operasi Khas JPJ Inspection and Safety Audit (JISA) telah dimulakan di seluruh negara.
“Setakat ini, kira-kira 50 syarikat telah kita audit. Keputusan audit saya belum dapat lagi.
“Saya beri tempoh sebulan kepada pasukan saya untuk menyelesaikan audit ke atas 500 syarikat ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Aedy Fadly berkata, audit dijalankan mengikut keadaan sebenar serta bergantung kepada dokumentasi yang perlu disediakan oleh setiap syarikat.
“Proses audit itu bergantung kepada keadaan sebenar dan dokumentasi yang perlu disediakan oleh syarikat-syarikat tersebut,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Aedy Fadly dilaporkan berkata JPJ akan melaksanakan pengauditan terhadap 500 syarikat pengendali KPA dan KPB yang berisiko tinggi melalui strategi penguatkuasaan Operasi Khas JISA bermula Isnin.
Beliau berkata, JPJ telah mengenal pasti semua syarikat pengendali terbabit yang mempunyai saman tertunggak menerusi senarai JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Katanya, fokus utama operasi khas itu ialah untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
Penguatkuasaan Operasi Khas JISA itu membabitkan pelaksanaan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan yang menumpukan kepada pematuhan terhadap Kod Tata Amalan Industri (ICOP) berkaitan keselamatan dalam industri pengangkutan.
Dalam masa yang sama, JPJ dapat membuat semakan dan penyelesaian saman tertunggak pemilik kenderaan serta pemandu, selain memastikan pematuhan terhadap pelan teknikal kenderaan.
Aedy Fadly berkata, pengauditan itu dibuat susulan nahas bas yang mengorbankan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu, selain beberapa kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Katanya, berdasarkan statistik, pihaknya mengenal pasti kategori syarikat pengendali yang berisiko tinggi iaitu membabitkan 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
