Lima ditahan kemuka dokumen palsu untuk permit pekerja asing

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman lima individu termasuk empat pengarah syarikat dan seorang daripadanya warga Bangladesh.
Sumber berkata, kesemua suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing di negeri ini.
Menurut sumber, empat suspek lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 60-an itu ditahan antara jam 3 hingga 6 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
"Kesemua suspek melalui syarikat masing-masing dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 sehingga 2024.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Selangor dengan mengandungi butir matan palsu.
"Mereka dipercayai mempunyai niat untuk memperdayakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor," katanya pada Selasa.

Sinar Harian difahamkan, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membenarkan kesemua suspek yang diwakili peguambela direman selama empat hari sehingga Jumaat.
Keputusan reman itu dilakukan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, terdapat tiga lagi individu lain turut ditahan bersama kumpulan suspek pada Isnin.
Namun begitu katanya, tiga individu itu dilepaskan atas faktor kesihatan, selepas keterangan masing-masing diambil dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
