Malaysia meterai perjanjian ekonomi bersama empat negara EFTA

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia membuka lembaran baharu dalam hubungan perdagangan, pelaburan dan ekonomi dengan negara-negara Eropah apabila menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) atau Malaysia–EFTA Economic Partnership Agreement (MEEPA).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerjasama tersebut melibatkan empat negara bukan ahli Kesatuan Eropah (EU), iaitu Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein.

Selain MEEPA, Malaysia dan negara anggota EFTA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dan pembinaan kapasiti serta kenyataan bersama berkaitan minyak sawit mampan.

“Pendirian berkecuali dan tidak berpihak negara adalah penting bagi mengekalkan kestabilan perdagangan, terutama dalam suasana geopolitik dunia yang tidak menentu ketika ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perjanjian itu dimeterai oleh Tengku Zafrul bersama Menteri Perdagangan dan Industri Norway, Cecilie Terese Myrseth; Menteri Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi Iceland, Dadi Mar Kristofersson; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Luar, Alam Sekitar dan Kebudayaan Liechtenstein, Sabine Monauni; serta Naib Presiden dan Ahli Majlis Persekutuan Switzerland, Guy Parmelin.

Menurut Tengku Zafrul, perjanjian ini akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.

“MEEPA merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ke-18 Malaysia dan mencerminkan usaha kita untuk mempelbagaikan pasaran dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Ia juga merupakan FTA pertama Malaysia bersama beberapa negara Eropah dan dijangka akan mempercepatkan rundingan FTA Malaysia–EU,” ujarnya.

Tambah beliau, MEEPA merangkumi pelbagai aspek termasuk barangan, perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelek, pemudahan kastam, dasar persaingan, isu sanitasi dan fitosanitasi, perdagangan mampan, perolehan kerajaan serta kerjasama ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Apabila berkuat kuasa kelak, MEEPA dijangka memberikan akses bebas duti jangka panjang kepada lebih 90 peratus eksport Malaysia ke negara-negara terlibat, termasuk semua produk industri.

“Perjanjian ini turut mengandungi agenda kerjasama dan pembinaan keupayaan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains, teknologi dan inovasi; mobiliti hijau dan pengangkutan; pendigitalan dan automasi; farmaseutikal serta peranti perubatan; dan pembangunan modal insan melalui program latihan industri serta pertukaran pakar,” katanya.

Semasa majlis menandatangani MEEPA, Tengku Zafrul turut menyaksikan pertukaran MoU antara Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan dua universiti di Norway, iaitu University of South-Eastern dan University of Stavanger.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kerjasama akademik dan kepakaran khusus dalam bidang teknologi hidrogen, penangkapan dan penyimpanan karbon,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!