Malaysia, Kyrgyzstan meterai perjanjian kerjasama 10 bidang strategik

Anwar dan Zhaparov.sempat bertegur sapa dan bermesra dalam satu majlis pertukaran 10 dokumen penting merangkumi pelbagai bidang strategik di Seri Perdana, Putrajaya.
Anwar dan Zhaparov.sempat bertegur sapa dan bermesra dalam satu majlis pertukaran 10 dokumen penting merangkumi pelbagai bidang strategik di Seri Perdana, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Kyrgyzstan memeterai 10 dokumen penting merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelancongan, pendidikan tinggi dan tenaga boleh diperbaharui dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua dokumen tersebut ditandatangani dalam satu majlis pertukaran di Seri Perdana yang turut disaksikan oleh beliau dan Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov sempena lawatan rasmi Presiden itu ke Malaysia.

"Lawatan ini yang pertama dalam tempoh tiga dekad mencerminkan iltizam bersama untuk melonjakkan hubungan dua hala ke tahap lebih kukuh dan bermakna," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya pada Selasa.

Tambah Anwar, kedua-dua pemimpin turut sepakat memperluas kerjasama dalam pelaburan, pembinaan, perbankan Islam serta tenaga boleh diperbaharui termasuk inisiatif mewujudkan bank Islam dan pelan tindakan halal.

Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia juga sedang meneliti potensi tenaga hidro dan teknologi hijau yang dimiliki Kyrgyzstan.

Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan aspek kerjasama dalam bidang pendidikan turut dipertingkatkan melalui program pertukaran pelajar, pensyarah serta latihan teknikal di bawah Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) demi memperkukuh jaringan rakyat ke rakyat dan memperluas peluang pendidikan rentas budaya.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga akan meneroka bidang baharu seperti keselamatan siber, kesihatan, pembangunan belia dan transformasi digital yang kian menjadi keutamaan dalam landskap global semasa.

“Dalam pertemuan ini, kami turut menyentuh isu genosid di Gaza.

"Malaysia dan Kyrgyzstan berpandangan tegas menolak penjajahan serta kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, selain menekankan keperluan solidariti ummah dalam mendepani isu ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Anwar, beliau menghargai kesungguhan Japarov dalam memperkukuh hubungan dua hala dan memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus menjadi rakan komited serta diyakini demi masa depan yang lebih terjamin untuk kedua-dua negara.

Untuk rekod, lawatan Japarov ke Malaysia yang bermula pada 23 Jun lalu, merupakan kunjungan rasmi pertama oleh seorang Presiden Kyrgyzstan sejak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dimeterai pada 1992.

Sepanjang berada di Malaysia, Japarov mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta menghadiri majlis sambutan rasmi di Dataran Parlimen dan jamuan negara di Istana Negara selain menyertai beberapa sesi libat urus bersama pemimpin kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!