Serangan AS beri ‘lampu hijau penuh’ kepada Iran untuk balas dendam – Jeneral Tertinggi

TEHERAN – Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi menegaskan bahawa tindakan agresif Amerika Syarikat (AS) terhadap kemudahan nuklear Iran telah memberi “lampu hijau sepenuhnya” kepada pasukan bersenjata republik itu untuk melancarkan sebarang tindakan balas.
Dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin, beliau berkata, serangan udara AS ke atas tiga lokasi nuklear utama di wilayah tengah dan utara Iran pada Ahad merupakan satu pencerobohan yang membuka ruang luas untuk tindakan ketenteraan balas terhadap kepentingan AS dan sekutunya.
“Amerika Syarikat yang penjenayah itu perlu sedar bahawa mereka kini telah memberi kuasa sepenuhnya kepada pejuang kami untuk bertindak terhadap semua kepentingan dan aset ketenteraan mereka,” tegas beliau.
Tambah beliau, serangan itu turut membolehkan Iran mempertimbangkan pelbagai bentuk tindakan balas termasuk terhadap ‘anak haram’ AS yang dirujuknya kepada rejim Zionis Israel.
“Dalam perkara ini, kami tidak akan sekali-kali berundur,” katanya.
Sementara itu, Komander Tentera Darat Iran, Mejar Jeneral Amir Hatami dalam ucapannya kepada para komander tentera di pelbagai wilayah pada Isnin turut mengecam keras tindakan Washington dan memberi amaran bahawa Iran akan bertindak dengan tegas.
Menurutnya, Iran telah berdepan dengan pencerobohan AS sebelum ini, termasuk semasa perang Iran-Iraq pada 1980-an apabila AS menyokong tentera Baath pimpinan Saddam Hussein.
“Setiap kali mereka melakukan jenayah, mereka menerima balasan yang tegas. Kali ini juga tiada pengecualian,” ujar Hatami.
Beliau turut memuji kekuatan dan kejayaan pasukan bersenjata Iran dalam misi balas dendam terhadap serangan Israel yang telah meragut lebih 400 nyawa sejak 13 Jun lalu, termasuk pegawai tentera kanan, saintis nuklear, dan orang awam.
Setakat ini, Iran telah melancarkan sekurang-kurangnya 21 gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah yang diduduki rejim Zionis menerusi Operasi Janji Suci III.
Hatami berkata, serangan balas yang intensif itu menyebabkan Israel terdesak meminta bantuan secara langsung daripada AS.
“Mereka (rejim Israel) akhirnya terpaksa melibatkan dalang utama iaitu AS untuk menyertai konfrontasi terbuka dengan Republik Islam Iran,” katanya.
Beliau menegaskan, Iran akan terus berjuang hingga mencapai kemenangan.
“Dengan izin Allah, kami percaya bantuan Ilahi akan terus menyokong kami, dan kemenangan sekali lagi akan menjadi milik kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

