Himpunan Gempur Rasuah 2.0: Polis berhak semak MyKad orang awam

KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak untuk menyemak dokumen pengenalan diri, termasuk MyKad, terhadap mana-mana individu awam yang hadir dalam perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 di pusat bandar raya Kota Kinabalu, menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.
Beliau menegaskan bahawa tindakan semakan identiti tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan polis menyemak dokumen pengenalan diri sekiranya terdapat keraguan terhadap status kewarganegaraan atau tujuan kehadiran seseorang individu.
“Itu hak polis. Polis boleh semak MyKad, tidak ada masalah. Dalam Akta Polis memang ada dinyatakan bahawa anggota polis boleh menyemak identiti sesiapa yang disyaki, termasuk kemungkinan individu bukan warganegara menyertai perhimpunan.
“Kerana yang boleh berhimpun ini hanyalah warganegara Malaysia sahaja,” katanya ketika diminta mengulas mengenai satu video tular yang menunjukkan seorang peserta perhimpunan enggan mengemukakan MyKad, sebaliknya meminta untuk melihat kad kuasa anggota polis yang bertugas.
Mengulas lanjut, Kasim berkata, tindakan peserta tersebut tidak wajar memandangkan anggota polis yang beruniform tidak tertakluk kepada keperluan menunjukkan kad kuasa secara spontan.
“Sepatutnya tidak perlu (lihat kad kuasa) kerana anggota terbabit berpakaian seragam. Kecuali jika polis itu tidak beruniform, barulah wujud keperluan tersebut.
“Dalam kes ini, peserta dilihat tidak menghormati undang-undang. Kita boleh buka kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” jelasnya.
Namun begitu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada Pesuruhjaya Polis Sabah berhubung perkara itu.
Mengulas mengenai pemakluman oleh kumpulan Suara Mahasiswa berkenaan penganjuran perhimpunan, Kasim menjelaskan bahawa 15 syarat telah digariskan kepada penganjur, namun mereka hanya menyiarkan muka surat hadapan dalam hantaran media sosial.
“Mereka telah menerima syarat-syarat itu, tetapi hanya memaparkan muka surat hadapan dan tidak mendedahkan semua syarat yang ditetapkan.
“Pemakluman mereka hanya menyatakan perhimpunan akan diadakan, lokasi serta laluan yang digunakan, termasuk gambar lokasi. Dalam konteks Akta Perhimpunan Aman, pihak polis perlu memastikan perhimpunan itu berjalan dengan selamat tanpa menjejaskan orang awam,” katanya.
Tambah beliau, tiada makluman awal oleh penganjur yang menyatakan akan berlaku tindakan provokatif seperti membakar bahan atau membawa plakad.
“Sewaktu pemakluman, tidak disebut bahawa mereka akan melakukan pembakaran atau membawa plakad tertentu. Mereka hanya menyatakan niat untuk berhimpun pada tarikh dan lokasi yang dimaklumkan,” ujarnya.
Untuk rekod, pada hari kedua perhimpunan, peserta didapati melakukan tindakan provokatif dengan membakar gambar karikatur yang menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
