Beli rumah mampu milik bantu asnaf di bawah Rumah Mawaddah

SEREMBAN - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah Program Rumah Mawaddah.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan awalan itu membabitkan pembelian 13 rumah jenis A yang bernilai RM110,000 seunit.
Menurutnya, inisiatif itu sebagai memenuhi keperluan permohonan keluarga memerlukan terutama bagi mereka yang tidak memiliki tanah untuk didirikan rumah di bawah program berkenaan.
“Senarai permohonan yang layak diuruskan oleh MAINS yang menetapkan syarat antaranya pemohon mestilah berdaftar sebagai asnaf fakir miskin di bawah agensi itu serta syarat kedua memiliki tanah bergeran.
“Ada permohonan yang terpaksa ditolak disebabkan isu tiada tanah. Melalui pembelian rumah dicadangkan ini, ia dijangka dapat menambah baik program bantuan perumahan yang dilaksanakan sejak 2019 itu,” katanya selepas merasmikan Seminar Sinergi Zakat dan Pembinaan di Hotel Royale Chulan di sini pada Isnin.
Katanya, tahun lalu sebanyak 12 unit Rumah Mawaddah telah diluluskan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Sementara pada tahun ini katanya, MAINS menyediakan RM1.8 juta dengan menyasarkan pembinaan 18 unit rumah untuk disalurkan kepada pemohon yang berkelayakan.
“Setakat Mei, sebanyak empat permohoann telah diluluskan disusuli beberapa unit lagi yang sedang dalam proses pertimbangan.
“Kelulusan ini adalah bergantung kepada keperluan dan memenuhi syarat ditetapkan. MAINS menerima banyak permohonan yang akan melalui proses tapisan untuk memastikan bantuan zakat ini disalurkan dengan kaedah betul kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Sementara itu mengenai seminar dilaksanakan pada Isnin, beliau berkata, seminar bertemakan
‘Hasil Pembinaan, Iringi Berkat’ sebagai memberi mesej penting tentang keseimbangan pembangunan dengan keberkatan.
“Kejayaan dalam sektor pembinaan bukan sekadar diukur melalui keuntungan atau pencapaian fizikal, tetapi juga melalui keberkatan hasil yang diperoleh.
“Keberkatan itu hanya dapat diraih apabila kita menunaikan tanggungjawab agama antaranya melalui zakat perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, hasil diperolehi syarikat kontraktor merangkumi pencapaian projek, peluang pekerjaan, serta sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagaimanapun katanya, hasil itu perlu diperkukuh dengan keberkatan agar iabenar-benar memberi manfaat jangka panjang bukan sahaja untuk syarikat, tetapi untuk ummah secara keseluruhan.
Pada majlis itu, MAINS turut menyalurkan empat bantuan zakat membabitkan kategori Bantuan Perkapita dan Dermasiswa MAINS sebanyak RM4.1 juta; Bantuan Keusahawanan Asnaf RM179,500; Bantuan Rumah Mawaddah RM400,000 dan IJN Foundation RM30,000.
Turut diadakan membabitkan majlis penyerahan Zakat Perniagaan daripada lima syarikat dianggarkan bernilai RM500,000.
Ia membabitkan Gemencheh Granite Sdn Bhd, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad dan Prudential BSN Takaful Berhad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

