STPM 2024: Negeri Sembilan lepasi PNGK Kebangsaan buat pertama kali

Khalidah (tiga dari kanan) menunjukkan keputusan STPM peringkat Negeri Sembilan pada Selasa.
Khalidah (tiga dari kanan) menunjukkan keputusan STPM peringkat Negeri Sembilan pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali melepasi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Kebangsaan iaitu 2.85 bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar berkata, PNGK Negeri telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 mata iaitu 2.86 berbanding 2.82 pada tahun 2023.

Menurutnya, seramai 38 calon mencapai PNGK 4.0 dengan memperolehi 4A Prinsipal berbanding 45 calon pada tahun sebelumnya.

"Seorang daripada calon cemerlang itu mendapat 5A Prinsipal dalam kelima-lima mata pelajaran diambil.

"Sementara daripada 1,295 calon yang hadir, sebanyak 100 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM," katanya pada sidang media keputusan STPM di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail dinobatkan sebagai sekolah terbaik bagi peperiksaan STPM 2024 dengan pencapaian PNGK tertinggi iaitu sebanyak 3.31.

Sementara Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz mencatatkan peningkatan PNGK iaitu dari 2.74 kepada 2.79.

Ujarnya, sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2024 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas.

Artikel Berkaitan:

"Lapan pelajaran telah menunjukkan peningkatan melebihi 3 peratus dari segi prestasi lulus penuh iaitu Bahasa Cina, Sejarah, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Kimia dan Sains Sukan.

"Manakala lima mata pelajaran yang telah menunjukkan penurunan ialah Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Tahfiz Al-Quran, Perakaunan dan Biologi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!