Selangor kukuh kepimpinan wanita dalam landskap demokrasi Malaysia

Siti Faridah (depan, kiri) bersama wakil WFD menandatangani MoU sambil disaksikan Anfaal (belakang, dua dari kanan) di Bilik Gerakan MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Isnin.
Siti Faridah (depan, kiri) bersama wakil WFD menandatangani MoU sambil disaksikan Anfaal (belakang, dua dari kanan) di Bilik Gerakan MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) giat memperkukuh penyertaan dan kepimpinan wanita dalam landskap demokrasi di Malaysia dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Westminster Foundation for Democracy (WFD).

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Anfaal Saari berkata, ia merupakan permulaan langkah strategik yang menyokong pelaksanaan program Gender Observatory di bawah inisiatif Women Political Leadership Programme (Fasa II) yang berlangsung dari Mei hingga Ogos 2025.

Menurutnya, kerjasama itu akan merangkumi pelbagai inisiatif seperti reka bentuk penyelidikan berkaitan gender dan demokrasi serta makmal konsultasi bersama pihak berkepentingan.

“Selain itu, ia turut melibatkan dialog perkongsian data, pemantauan kemajuan dasar, penggubalan agenda penyelidikan, pembentangan awam dan advokasi dasar awam yang lebih inklusif gender.

“Ini sejajar dengan aspirasi dan kerangka Dasar Wanita Selangor serta menyokong keutamaan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk memperkasa kepimpinan wanita sebagai pemacu perubahan sosial dan pembangunan negeri.

“Ia juga selari dengan nilai Gagasan Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, keterangkuman dan keadilan sosial dengan memastikan suara serta penyertaan wanita diangkat dalam proses demokrasi dan pembuatan dasar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani MoU antara WBS dan WFD di Bilik Gerakan MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Isnin.

Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San; Ketua Pegawai Eksekutif (Kumpulan), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Datuk Saipolyazan M Yusop; Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad serta Pengarah Asia Pasifik dan Amerika WFD, Matthew Hedges.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata, sebagai institusi peneraju dalam program Gender Observatory, WBS melangkah menjadi pemacu tadbir urus yang responsif gender, progresif dan demokratik di peringkat negeri serta kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Program ini melalui sesi libat urus bersama pemegang taruh bukan sahaja merentas parti politik, tetapi juga agensi serta akademik. Dengan kajian ini, ia mengumpulkan data bagi memberikan satu rumusan tentang di mana tahap kita sebenar dan tindakan yang perlu dilakukan.

“Di dalam Indeks Jurang Gender (Gender Gap Index) di Malaysia, kita masih di tahap yang belum memuaskan iaitu 0.096. Kita masih jauh ketinggalan, jadi banyak usaha perlu dilakukan termasuk melibatkan peringkat rantau ASEAN.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkukuh peranan wanita sebagai pembuat keputusan, seterusnya mewujudkan ekosistem kepimpinan yang lestari dan inklusif,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!