Sudah-sudahlah jaja aib rumah tangga di media sosial

MERAK Jalanan perhati sekarang ni, makin ramai orang suka sangat buka cerita peribadi di media sosial.
Lagi-lagi bila bergaduh dengan pasangan, media sosial jadi tempat luah rasa marah, kecewa, geram...semua campur sekali.
Isu terbaru, kisah seorang pempengaruh media sosial dengan suaminya. Gara-gara isu ‘dalam kain’, habis satu Malaysia tahu 'kisah' rumah tangga mereka.
Ada yang menyokong si isteri, ada yang hentam suami.
Tapi yang paling ramai, jenis suka tonton drama orang lain sambil makan popcorn.
Merak Jalanan bukan nak kata siapa betul siapa salah.
Rumah tangga, kalau dari luar nampak sempurna pun belum tentu bahagia.
Tapi bila aib rumah tangga dibuka untuk tatapan umum, sebenarnya siapa yang untung? Yang untungnya penonton. Yang rugi? Kita sendiri.
Betul, kadang-kadang hati dah tak tahan. Bila suami buat hal, atau isteri berubah, memang rasa nak ‘luahkan’ semuanya.
Tapi percayalah, bila kita buka aib pasangan sendiri, kita sebenarnya sedang buka aib diri sendiri juga.
Maruah keluarga bukan untuk ditayang. Biar retak dalam diam, jangan pecah berderai di hadapan khalayak.
Seolah-olah media sosial ini tempat orang cari perhatian, tempat cari simpati. Tapi sampai bila nak hidup atas simpati orang lain? Hari ini orang puji, esok-esok orang gelakkan kita pula.
Rumah tangga ni bukan pentas drama. Kalau ada masalah, bincang elok-elok.
Kalau dah tak boleh selesai, cari jalan keluar yang terhormat. Jangan biarkan netizen jadi hakim dalam cerita hidup kita.
Jangan sesekali jadikan aib rumah tangga sebagai content. Yang untungnya orang lain, yang malunya kita sampai bila-bila.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
