Dunia di ambang bahaya?

KONFLIK bersenjata antara Iran dan Israel kini memasuki fasa paling genting dalam sejarah moden Asia Barat.
Apa yang bermula sebagai siri serangan balas susulan ketegangan di Gaza dan Lubnan kini berubah menjadi perang terbuka antara dua kuasa serantau yang paling berpengaruh di Timur Tengah.
Tidak seperti episod-episod sebelum ini yang lebih bersifat serangan proksi, kali ini dunia menyaksikan sendiri bagaimana dua negara saling menghantar peluru berpandu, dron bersenjata dan operasi ketenteraan terbuka ke jantung wilayah masing-masing.
Israel memulakan langkah agresif dengan melancarkan Operasi Rising Lion, satu serangan berskala besar ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan strategik Iran.
Serangan ini boleh dikatakan sebagai bermotif jangka panjang untuk melemahkan terus kekuatan Iran di pentas antarabangsa.
Kemusnahan infrastruktur ketenteraan Iran dalam serangan ini dianggarkan mencecah hampir 30 peratus setakat ini.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan lebih 450 peluru berpandu dan lebih seribu dron ke atas Israel. Walaupun kebanyakan serangan dipintas sistem pertahanan Iron Dome dan Arrow, ada juga peluru berpandu yang terlepas.
Jumlah korban di kedua-dua belah pihak kini mencecah ribuan mangsa yang cedera.
Apa yang lebih membimbangkan ialah penyertaan terbuka Amerika Syarikat (AS) dalam konflik ini.
Pada Ahad, AS melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Tindakan ini bukan sahaja meningkatkan risiko konflik berskala lebih besar, malah membuka ruang kepada ancaman nuklear yang boleh menjejaskan keselamatan serantau dan global.
Dalam keadaan dunia masih belum stabil sepenuhnya selepas pandemik dan krisis ekonomi global, peperangan besar-besaran ini merupakan ancaman serius terhadap kestabilan antarabangsa.
Negara-negara kuasa besar mesti menghentikan tindakan bersifat provokatif dan kembali ke meja rundingan.
Kegagalan menghentikan peperangan ini bakal membawa dunia ke kancah malapetaka nuklear yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Sudah tiba masanya diplomasi mengatasi keangkuhan senjata. Dunia tidak boleh lagi menjadi penonton kepada tragedi yang dicipta oleh kerakusan kuasa-kuasa besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!