Lagi pencemaran dikesan di Bagan Datuk

BAGAN DATUK – Bau busuk dan warna air parit yang bertukar hitam menyebabkan lebih 200 penduduk di Tanah Rancangan Luar Bandar (TRLB), Hutan Melintang, di sini, bimbang akan ancaman pencemaran yang mengganggu kesihatan mereka.
Wakil penduduk, Zaikarnain Mohd Zainuddin, 38, berkata, keadaan itu mula disedari sejak seminggu lalu apabila terdapat aktiviti pengorekan parit baharu berhampiran penempatan penduduk.
Menurutnya, maklumat awal yang diterima memaklumkan bahawa parit tersebut dibina bagi menempatkan paip yang digunakan untuk menyedut air dari Sungai Perak bagi tujuan industri berhampiran.
"Namun, apa yang kami perhatikan, air di dalam parit kampung menjadi hitam dan berbau busuk. Jadi, kami syak berlaku pencemaran sisa buangan yang dialirkan ke dalam parit kampung.
"Kami kesal dengan apa yang berlaku. Kita bukan menolak pembangunan dan perindustrian, tetapi janganlah sampai mengganggu kehidupan penduduk di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Zaikarnain berkata, susulan itu penduduk telah membuat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.
Katanya, susulan aduan tersebut, wakil agensi berkaitan telah hadir ke lokasi kejadian berhampiran TRLB bagi melakukan penilaian dan siasatan.
Penduduk turut berharap agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku pencemaran, kerana kampung berhampiran seperti Kampung Badri, Kampung Sungai Dulang Dalam serta Kampung Tebing Rebak turut terjejas.
Jelasnya, jika tidak dibendung, air tercemar itu akan mengalir terus ke Sungai Perak yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan keadaan tersebut.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan alam sekitar dan kesihatan penduduk.
Beliau berkata, isu tersebut juga telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada 10 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan keresahan penduduk Kampung Sungai Tiang Baroh dan Kampung Sungai Payung apabila ribuan bangkai ikan timbul dalam parit berhampiran dua kampung itu, dipercayai akibat pencemaran.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mendapati punca kematian ribuan ikan di dalam parit di Kampung Sungai Payung dan Kampung Sungai Tiang Baroh disyaki berpunca daripada sebuah kilang memproses belacan.
JAS siasat, periksa kilang cemar parit
IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menjalankan siasatan dan pemeriksaan menyeluruh terhadap sebuah kilang yang didakwa menjadi punca pencemaran air di parit berhampiran kawasan Tanah Rancangan Luar Bandar (TRLB), Hutan Melintang.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, tindakan itu susulan aduan penduduk yang mendakwa berlaku pelepasan air berwarna hitam dan berbau dari kilang berhampiran ke dalam aliran parit berdekatan.
Menurutnya, JAS bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), serta polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bagan Datuk telah turun padang pada Jumaat bagi meneliti aduan tersebut.
“Perjumpaan dan perbincangan telah diadakan bersama Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk dan penduduk kampung yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu pencemaran tersebut.
“JAS juga telah memberi penerangan berhubung syarat lesen operasi yang perlu dipatuhi oleh pihak kilang, termasuk had pelepasan efluen yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Kok Lim berkata, hasil rujukan kepada keputusan sampel efluen yang diambil pada 9 Jun lalu mendapati pelepasan bahan buangan kilang masih berada dalam parameter yang dibenarkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui wujud keresahan dalam kalangan penduduk berhubung warna air buangan, namun parameter warna tidak termasuk dalam had pelepasan yang ditetapkan dalam lesen operasi.
“Tinjauan ke lokasi mendapati bacaan pH air di parit belakang kampung berada pada paras neutral iaitu antara 7 hingga 8.
“Namun, JAS mendapati lokasi takat pelepasan akhir oleh kilang tidak sama seperti yang diluluskan dalam pelan lesen, dan perkara ini menimbulkan kemarahan penduduk kerana kerja pengorekan telah mengganggu rutin harian mereka,” katanya.
Jelas beliau, JAS telah menggariskan beberapa tindakan susulan termasuk menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap setiap kolam bagi memastikan tiada laluan pintasan berlaku serta memastikan semua peralatan rawatan berfungsi dengan baik.
“JAS juga akan memantau prestasi kolam secara berkala, memeriksa jadual operasi kilang untuk meneliti dakwaan gangguan bunyi pada waktu malam serta memastikan pematuhan penuh terhadap syarat lesen.
“Jika didapati berlaku pelanggaran syarat, tindakan penggantungan lesen boleh dikenakan,” tegasnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa penduduk di TRLB, Hutan Melintang menyatakan kebimbangan berikutan pencemaran air parit di kawasan mereka susulan bau busuk dan perubahan warna air menjadi hitam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!