Penduduk gempar ribuan bangkai ikan timbul di parit

BAGAN DATUK - Penduduk Kampung Sungai Tiang Baroh dan Kampung Sungai Payung di sini gempar apabila ribuan bangkai ikan timbul dalam parit berhampiran dua kampung itu.
Ketua Kampung Bagan Sungai Tiang, Ishak Talib berkata, kejadian disedari pada Isnin apabila penduduk melihat banyak ikan yang mati dalam parit berkenaan, dipercayai akibat pencemaran.
Menurutnya, air parit juga bertukar warna kemerahan dan berbau seperti belacan.

"Kita tak pasti bagaimana berlaku tapi penduduk kampung syak mungkin daripada sisa air buangan memproses belacan atau udang berdasarkan bau busuk di dalam parit itu.
"Setakat ini tiada saksi yang melihat mana-mana individu yang membuang sisa tersebut tetapi keadaan itu sangat menyedihkan kerana ikan-ikan ini sumber pendapatan dan makanan orang kampung," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ishak berkata, laporan telah dibuat kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut kerana keadaan itu amat membimbangkan.

Beliau berkata, kebanyakan ikan yang mati ialah tilapia dan dikhuatiri jumlahnya akan bertambah.
"Kawasan parit itu orang luar selalu datang menjaring ikan dan memancing. Jadi kita bimbang lebih banyak ikan mati dan memudaratkan penduduk.
"Sebelum ini tak pernah jadi ikan mati timbul banyak macam itu. Kita harap siasatan akan dibuat bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Susulan itu katanya, satu laporan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya satu siasatan dapat dilakukan susulan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berhubung kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

