Lintas hormat pesawat, 21 das tembakan meriam sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-83

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Kehormatan di Dataran Medan Bandar, di sini, pada Ahad.
Istiadat berkenaan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-83.
Ketibaan Sultan Sallehuddin yang diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff disambut meriah dan penuh istiadat.
Acara terbang lintas hormat dilakukan penuh bergaya oleh dua buah pesawat EC 120B dari Institut Penerbangan (Inspen) 2 serta lima buah pesawat PC-7 MK2 dari Inspen 1.

Kawalan kehormatan turut diiringi dengan 21 das tembakan meriam yang dipimpin oleh Mejar Hafizan Md Ghani dari 41 bateri Rejimen Artileri Diraja (istiadat) Kem Sungai Buluh, Selangor.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff
Berangkat sama, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pada acara penuh istiadat itu, baginda turut mencemar duli melakukan tabik hormat dan pemeriksaan pasukan kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja bersama panji-panji rejimen, diketuai Mejar Muhammad Nasrullah Abdullah.
Pegawai pembawa panji-panji ialah Leftenan Muda Muhammad Alif Izzudin Nasirudin dan Sarjan Mejar rejimen panji-panji ialah Pegawai Waran 1, Hermi Bakry.
Majlis istiadat penuh bersejarah itu turut diserikan dengan pancaragam mengiringi kawalan kehormatan dari pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Kapten Muhamad Fauzee Japar dan dibantu oleh Pegawai Waran 2 Aliff Farhan Hashim.

Sambutan turut dimeriahkan dengan lambaian kasih Tuanku oleh 3,000 pelajar sekolah bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar.
Turut diadakan, Pameran Aset Ketenteraan Rejimen Askar Melayu Diraja selama dua hari, di Dataran Medan Bandar sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda.
Istiadat berkenaan turut disaksikan oleh rakyat Kedah yang membanjiri kawasan dataran tersebut seawal jam 7.30 pagi.
Pada Jumaat, Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha turut berkenan berangkat hadir ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Masjid Zahir.
Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan yasin dan doa selamat, serta Solat Isyak, dipimpin oleh Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

