Remaja hidap SLE, keluarga rayu bantuan kos rawatan RM50,000

TEMERLOH – Kehidupan seorang remaja perempuan berubah sekelip mata apabila disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) sejak Mei lalu.
Yusrina Shafira Yusmadi, 14, dari Kampung Kuala Mai dekat Kuala Krau, kini terlantar dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Bapanya, Yusmadi Yusof, 42, memaklumkan bahawa anak kedua daripada lima beradik itu mengalami serangan sesak nafas yang teruk sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati Yusrina, yang merupakan pelajar sebuah maahad di Chenor, disahkan menghidap SLE – satu berita yang amat mengejutkan mereka sekeluarga.
“Selama ini anak seorang yang ceria, sihat dan aktif bersukan, suka bermain bola jaring. Cuma tahun lepas dia mengalami batuk berpanjangan, tetapi disahkan tidak menghidap sebarang penyakit serius.
“Setakat ini, anak sudah menjalani pembedahan di kepala akibat darah beku dan lehernya juga ditebuk beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka sempena kunjungan Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (Kome Cakna) yang diwakili pengerusinya, Abdul Jamil Yaakub, pada Sabtu.

Sementara itu, ibunya, Sharifah Fatimah Mardiyyah Syed Zahiddin Idid, 38, mengakui sedih namun reda dengan ujian yang menimpa anak mereka.
“Dah puas menangis mengenangkan nasib anak. Selama ini dia sihat dan aktif, tapi saya dan suami perlu tabah dan kuat untuk berdepan dengan dugaan ini,” ujarnya.
Jelasnya, mereka kini menumpang sementara di rumah rakan di Kuantan bagi memudahkan urusan menjaga anak yang sedang dirawat di HTAA.
“Kami terpaksa tinggalkan empat anak lain yang berusia 15, 11, 9 dan 6 tahun buat sementara waktu di bawah jagaan nenek mereka. Syukur mereka memahami keadaan ini.
“Cuma saya akui buntu memikirkan kos rawatan dan ubat yang dianggarkan sekitar RM50,000, memandangkan suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu,” tambahnya.
Sementara itu, Abdul Jamil berkata pihaknya amat prihatin dengan nasib keluarga Yusmadi, yang juga merupakan ahli Kome Cakna, dan akan berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7607087900 atas nama Yusmadi Yusof.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!