Cadangan guna Akaun 2 KWSP mampu ringankan beban kos rawatan

Orang ramai menyambut baik cadangan membenarkan pencarum KWSP menggunakan simpanan Akaun 2 bagi membiayai premium insurans kesihatan - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nor Halmey)
Orang ramai menyambut baik cadangan membenarkan pencarum KWSP menggunakan simpanan Akaun 2 bagi membiayai premium insurans kesihatan - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nor Halmey)
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan Akaun 2 bagi membiayai premium insurans kesihatan disambut baik oleh orang ramai.

Pengerusi Persatuan Putra Malaysia, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, secara asasnya cadangan tersebut mampu memberi akses lebih cepat kepada rawatan perubatan berkualiti, khususnya untuk golongan B40 dan pertengahan yang sebelum ini sukar mendapatkan perlindungan kesihatan akibat kekangan kewangan.

Menurutnya, pendekatan itu dilihat selari dengan usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap sistem kesihatan awam dan menangani isu pembiayaan sendiri yang kini menyumbang hampir 32 peratus daripada keseluruhan kos penjagaan kesihatan di negara ini.

“Saya cenderung untuk bersetuju, dengan syarat beberapa penjagaan dipenuhi termasuk menetapkan had maksimum pengeluaran, subsidi kepada golongan layak dan pemantauan berkala terhadap pelaksanaannya.

“Tetapi, tabung persaraan mungkin terjejas. Pengeluaran Akaun 2 untuk insurans boleh menjadikan simpanan persaraan lebih kecil, khususnya bagi mereka yang menanggung keluarga. Kos premium juga boleh meningkat dari semasa ke semasa, menjadikannya beban jangka panjang jika tiada kawalan rapi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dari kiri: Rosnani, Mohd Syafiq, Hana dan Arif Aiman
Dari kiri: Rosnani, Mohd Syafiq, Hana dan Arif Aiman

Sementara itu, bagi Pengurus Pemasaran, Arif Aiman Ahmad Lela, 36, penggunaan simpanan Akaun 2 adalah satu langkah prihatin terhadap kebajikan rakyat, terutama dalam soal akses kepada rawatan kesihatan berkualiti.

Artikel Berkaitan:

“Kos rawatan di hospital, khususnya hospital swasta, memang sangat tinggi dan boleh membebankan sesiapa sahaja, terutama jika berlaku secara mengejut.

“Dengan adanya pilihan untuk menggunakan sebahagian daripada Akaun 2 KWSP bagi membayar insurans kesihatan, sekurang-kurangnya rakyat memiliki bentuk perlindungan asas tanpa perlu risau tentang beban kewangan mendadak,” ujarnya.

Turut senada, Eksekutif Pemasaran, Hana Chia, 24, berpendapat, cadangan itu memberi peluang kepada pencarum untuk memanfaatkan simpanan KWSP bagi tujuan kesihatan, terutamanya bagi mereka yang tidak mampu mendapatkan perlindungan insurans secara sendiri.

“Inisiatif kerajaan ini wajar dipuji kerana ia bukan sahaja membantu golongan kurang berkemampuan, malah membuka peluang untuk mendapatkan insurans kesihatan.

“Langkah ini bukan sahaja memberi ketenangan minda, malah membantu meringankan beban apabila berhadapan dengan kos rawatan yang semakin meningkat. Ia juga memberi ruang kepada rakyat untuk merancang perlindungan kesihatan mereka tanpa perlu menunggu sehingga hari tua,” katanya.

Pereka Grafik, Mohd Syafiq Zulkifli, 29, pula menyifatkan cadangan itu sebagai pendekatan baharu yang menarik dan wajar diperhalusi, terutama dalam memberi akses kepada perlindungan kesihatan asas.

Ujarnya, walaupun terdapat kebimbangan terhadap impak jangka panjang kepada simpanan persaraan, pelaksanaannya boleh diterima sekiranya mekanisme yang jelas ditetapkan dan hanya produk insurans yang benar-benar bermanfaat diluluskan.

Seorang lagi pencarum, Rosnani Nasir, 41, yang bekerja di sektor swasta, turut menyambut baik cadangan tersebut kerana berpendapat setiap individu perlu mempunyai perlindungan kesihatan, termasuk untuk anak-anak sejak awal lagi.

Jelasnya, dengan kos rawatan yang tinggi serta risiko penyakit kronik yang boleh berlaku secara tiba-tiba, langkah membenarkan penggunaan Akaun 2 KWSP mampu memastikan rakyat mendapat rawatan segera tanpa terbeban dengan faktor kewangan.

“Cadangan kerajaan ini baik kerana dapat memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai perlindungan kesihatan, dan secara tidak langsung mendapat rawatan terbaik jika berlaku kemalangan atau masalah kesihatan kronik.

“Kita tahu ramai rakyat Malaysia mempunyai masalah kesihatan seawal usia muda, jadi wajar mereka memiliki perlindungan kesihatan menerusi Akaun 2 KWSP,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!