Remaja perempuan hilang selepas tamat sekolah

KUANTAN – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sebaik tamat sesi persekolahan pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dikenali sebagai Nik Nur Hidayah Nik Abdullah.
“Remaja ini berkulit sawo matang, berketinggian antara 140 hingga 150 sentimeter, berbadan normal dan tidak mempunyai parut di wajah.
“Mangsa juga dilaporkan memakai pakaian seragam sekolah ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kehilangan mangsa disedari selepas ibunya, berusia 49 tahun, tidak melihat kelibat anaknya walaupun telah menunggu hampir sejam di hadapan pintu utama sekolah.
"Pengadu kemudian masuk ke kawasan sekolah dan bertanya kepada guru serta mencari mangsa, namun tidak menemui anaknya.
“Salah seorang kenalan pengadu memaklumkan terlihat mangsa bersama seorang rakan bernama Qalisha menaiki sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih dan keluar melalui pintu belakang sekolah,” katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan laporan, kali terakhir pengadu melihat anaknya adalah sekitar jam 6.30 pagi pada hari kejadian ketika menghantar mangsa ke sekolah.
“Pengadu turut memaklumkan tiada sebarang pertelingkahan berlaku antara mereka sebelum kejadian,” katanya.
Tambah beliau, pengadu juga ada menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp kepada mangsa pada jam 8.23 malam hari yang sama dan menerima balasan.
“Namun sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan remaja terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian hotline 09-5652089.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

