Remaja ditikam abang dibenar keluar hospital

MELAKA - Pelajar Tingkatan Satu yang cedera ditikam dalam kes pembunuhan tragis ibu dan abangnya di Bukit Rambai minggu lalu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Melaka pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Muhammad berkata, mangsa berusia 13 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih.
Menurutnya, selain menerima rawatan, khidmat kaunseling turut diberikan kepada remaja berkenaan yang kemungkinan berdepan trauma susulan insiden itu.
"Mangsa dalam keadaan stabil dan tidak mengalami trauma teruk, dan alhamdulillah dia juga sudah dibenarkan keluar dari hospital sekitar jam 8 pagi pada Jumaat.
"Mangsa ditemani waris yang menemaninya di hospital dan waris itu turut memberitahu akan menjaga mangsa selepas keluar dari hospital," katanya mengenai perkembangan remaja berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, remaja berkenaan dijaga oleh bapa saudara di Petaling Jaya, Selangor yang akan menguruskan kebajikannnya termasuk soal persekolahan.
Selain itu katanya, JKM turut melawat suspek yang juga abang mangsa berusia 17 tahun yang kini berada dilokap.
Jelasnya, emosi dan kesihatan suspek juga berada dalam keadaan stabil selain makan dan minumnya dijaga baik oleh pihak polis.
"Paling utama dia diletakkan di lokap berasingan dengan tahanan atau banduan dewasa.
"Tidak kira dia bersalah atau tidak, peranan JKM adalah memastikan hak-hak kanak-kanak itu terjaga," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa seorang guru dan anak sulungnya berusia 21 tahun dipercayai dibunuh dalam kejadian menyayat hati di Taman Rambai Mutiara.
Susulan itu, seorang suspek yang juga anak kepada guru berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh ibu dan abang.
Dalam kejadian 12 Jun lalu, mangsa dan anak sulungnya ditemui di ruang tamu rumah, manakala anak lelaki bongsu berusia 13 tahun pula ditemui berlumuran darah di garaj rumah teres setingkat itu.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam kerana suspek sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

