Usaha perkasa undang-undang syariah akan dibawa ke MKI

IPOH – Usaha memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk penggubalan dan pemantapan rang undang-undang berkaitan yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri Perak akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangan lanjut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya kini dalam proses memperhalusi segala perkara berkaitan menerusi sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikannya sendiri.
"Memang ada hasrat kerajaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk memperkemaskan rang undang-undang berkaitan. Proses sedang berjalan dan saya sendiri mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.
"Namun, perkara ini tidak boleh didedahkan secara terperinci kerana ia perlu melalui prosedur panjang termasuk dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Sabtu.
Turut hadir, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim serta Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof.
Saarani menjelaskan bahawa selepas melalui peringkat MKI, perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk pertimbangan lanjut sebelum butirannya dapat didedahkan kepada umum.
Dalam pada itu, mengulas kejadian letupan misteri yang didakwa berlaku di Ipoh baru-baru ini, Saarani berkata, fenomena sama pernah dilaporkan berlaku pada tahun 2024.
"Letupan misteri itu berlaku, orang Taiping mendengar seolah-olah ia berlaku di Taiping, orang Kuala Kangsar mendengar seolah-olah berlaku di Kuala Kangsar dan orang Ipoh pula merasakan ia berlaku di Ipoh.
"Saya percaya perkara ini perlu dikaji oleh pihak berkaitan termasuk ahli geologi. Ia juga pernah dikesan berlaku di Selangor," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana setakat ini tiada sebarang gegaran atau petanda gempa bumi dikesan berlaku di negara ini.
Katanya, pihak berkuasa sedang meneliti perkara itu bagi mengenal pasti punca sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!