Perak perkenal eKSPerk, modul elektronik pertama daftar kes syariah

IPOH – Jabatan Kehakiman Syariah Perak telah memperkenalkan laman sesawang Modul Awam Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk) sebagai inisiatif baharu bagi memudahkan urusan pendaftaran kes-kes terpilih di Mahkamah Syariah negeri itu.
Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, inisiatif yang mula diperkenalkan pada 10 Jun lalu melalui pautan eksperk.perak.gov.my merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.
Menurut beliau, antara kes yang dibenarkan menggunakan modul tersebut ialah permohonan perceraian persetujuan bersama, tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan nikah bawah umur serta permohonan wali hakim.
“Modul ini diwujudkan bagi membantu orang awam yang tidak menggunakan khidmat peguam dalam penyediaan dokumen pendaftaran kes, termasuk borang-borang berkaitan mengikut ketetapan sedia ada.
“Selama ini, ramai berdepan kesukaran mendapatkan khidmat penulis dokumen (person writer) kerana ada yang mengenakan bayaran tinggi. Dengan adanya eKSPerk, pengguna boleh mengisi sendiri maklumat serta fakta kes yang diperlukan dengan lebih mudah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ab Rahman Thobroni memaklumkan bahawa buat masa ini, pengguna perlu mencetak borang yang telah lengkap diisi melalui eKSPerk untuk dikemukakan ke mahkamah.
“Bagaimanapun, kita sedang dalam usaha menaik taraf sistem supaya dokumen yang dimasukkan melalui eKSPerk akan terus diselaraskan dengan sistem e-Syariah secara automatik.
“Dengan pengenalan eKSPerk ini juga, kecekapan pengurusan kes dapat ditingkatkan serta membantu mempercepatkan proses perbicaraan,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa borang pendaftaran kes yang disediakan oleh pihak ketiga atau persendirian masih diterima selagi menepati format susunan kandungan serta laras bahasa yang ditetapkan oleh jabatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!