Usaha perkasa undang-undang syariah sedang dilaksana di Perak

IPOH – Pihak Berkuasa Agama Negeri Perak sedang melaksanakan langkah memperkasa undang-undang syariah di negeri ini termasuk memperluaskan bidang kuasa serta mempertingkatkan kadar hukuman.
Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah memasukkan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Menurutnya, bidang kuasa Mahkamah Syariah ketika ini masih tertumpu kepada isu undang-undang keluarga, manakala peruntukan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah pula masih terhad kepada maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
"Kami khususnya selaku pelaksana perundangan syariah sedang berusaha memperluaskan bidang kuasa, khususnya dari segi hukuman, agar ia dapat ditingkatkan demi memberikan kesan kegerunan kepada masyarakat.
“Pada masa yang sama, kita juga akan meneliti Enakmen Jenayah Syariah Perak yang berusia lebih 35 tahun dan belum pernah dipinda. Kita akan cuba bawa perkara ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dipertimbangkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Ab Rahman Thobroni menjelaskan, sebarang perubahan melibatkan hukuman jenayah syariah memerlukan pindaan terhadap Akta 355.
Akta 355 ialah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen untuk menentukan had bidang kuasa hukuman jenayah syariah yang boleh diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri, sekali gus dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara.
“Dengan pindaan dan usaha ke arah pemerkasaan ini, kita berharap jurang di antara kehakiman syariah dan sivil dapat dikurangkan," ujarnya.
Mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam (SIS) Forum pada Khamis, beliau berpandangan keputusan tersebut memperjelaskan bahawa bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa tidak wajar dicampuri atau dipertikaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!