Pemimpin UMNO perlu lihat Pas sebagai pesaing, bukan musuh – Johari

Perwakilan UMNO Ketereh bergambar bersama Johari (lima dari kanan) yang duduk di barisan depan.
Perwakilan UMNO Ketereh bergambar bersama Johari (lima dari kanan) yang duduk di barisan depan.
A
A
A

KOTA BHARU – Pemimpin UMNO perlu menghadapi Pas sebagai pesaing politik dan bukan sebagai musuh.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan yang matang dan tidak beremosi penting supaya pertembungan politik tidak menjejaskan perpaduan masyarakat, terutama di Kelantan yang diperintah Pas selama tujuh penggal.

Katanya, pemimpin UMNO perlu menyedari bahawa rakyat yang mereka wakili termasuklah penyokong Pas. Justeru, sebarang persaingan perlu diasaskan atas keyakinan serta tawaran baharu kepada pengundi, dan bukannya permusuhan sesama Islam.

“Sebab itu saya pesan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah menjadi wakil rakyat, sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, bahawa rakyat ini termasuk orang yang menyokong Pas.

“Kalau kita nak bergaduh dengan mereka ini, kita pun akan hadapi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di sini, pada Sabtu.

Perwakilan UMNO Ketereh yang hadir pada mesyuarat.
Perwakilan UMNO Ketereh yang hadir pada mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.

Johari turut menekankan keperluan mewujudkan suasana politik yang sihat dan tidak menghukum mana-mana pihak hanya kerana perbezaan fahaman parti.

“Tak perlu gaduh, kita sama-sama orang Melayu, orang Islam. Politik ini lima tahun sekali, bila pilihan raya habis, tunggu lagi lima tahun.

“Jadi, jangan asyik berlawan kerana dendam, tapi yakinkan rakyat dengan dasar dan perancangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, UMNO akan memberi perhatian serius kepada pengundi muda yang dijangka merangkumi hampir 40 peratus dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Katanya, perubahan demografi ini menuntut pemimpin parti memahami aspirasi dan latar belakang tiga jenis pengundi muda yang semakin meningkat saban tahun.

“Tiap-tiap tahun kita dapat pengundi baharu berusia 18 tahun dan bilangannya semakin bertambah.

“Mereka ini tiga kelompok iaitu remaja lepasan sekolah yang mungkin masih terpengaruh dengan pandangan ibu bapa; pelajar universiti yang memiliki pemikiran kritis dan mencabar; serta pekerja muda yang berkeluarga dan mula menilai kepimpinan demi masa depan anak-anak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!