KDN FC: Rundingan tunggakan gaji dijalankan berperingkat

Irwan Rizal (tengah) yang berada di barisan depan bergambar bersama wakil kelab penyokong bola sepak Kelantan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Irwan Rizal (tengah) yang berada di barisan depan bergambar bersama wakil kelab penyokong bola sepak Kelantan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

RUNDINGAN berhubung baki tunggakan gaji bagi musim 2024–2025 antara Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan bekas pemain sedang dijalankan secara berperingkat melalui sesi pertemuan individu mengikut slot yang telah dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, rundingan yang bermula pada Jumaat menyaksikan hanya sekitar 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bekas pemain telah ditemui dan berjaya mencapai persetujuan setakat ini.

“Kami telah mulakan proses hari ini. Pemain hadir mengikut slot masing-masing, bertemu kami satu per satu melalui notis perjumpaan yang telah disampaikan lebih awal.

“Setakat hari ini, baru sekitar 10 ke 20 peratus pemain yang berjaya ditemui dan capai persetujuan. Proses ini akan diteruskan esok, dan jika belum selesai, kami akan teruskan sehingga semuanya selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program KDN FC bersama kelab penyokong di sebuah kafe di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa tunggakan gaji yang terlibat hanyalah bagi bulan Februari, Mac dan April tahun ini, namun enggan mendedahkan jumlah keseluruhan tunggakan tersebut.

“Bagi pemain yang mencapai persetujuan, bayaran akan dibuat secara sekali gus mengikut jumlah dan tempoh masa yang dipersetujui bersama,” jelasnya.

Irwan turut menjelaskan bahawa antara kekangan yang dihadapi ialah ketidakhadiran beberapa bekas pemain walaupun notis rasmi telah dikeluarkan lebih awal, termasuk sebelum sambutan Aidiladha lalu.

“Kami tidak menutup pintu rundingan. Jika hari ini tidak dapat diselesaikan, kita akan jadualkan semula dan teruskan perbincangan sehingga selesai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau lagi, pendekatan yang diambil oleh pihak kelab adalah untuk menyelesaikan isu dalaman ini secara berhemah tanpa melibatkan kenyataan awam atau media sosial yang boleh menjejaskan reputasi kelab.

Dalam pada itu, Irwan menegaskan bahawa kelulusan Lesen Kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bukanlah satu proses mudah kerana ia memerlukan pematuhan terhadap lebih 380 dokumen sokongan yang dikemukakan kepada First Instance Body (FIB), badan bebas di bawah sistem pelesenan kelab Liga Malaysia.

“MFL tidak memberikan lesen secara mudah. Kami perlu lengkapkan 387 dokumen yang akan ditapis dan disemak satu per satu sebelum dihantar ke FIB. Salah satu syarat utama ialah tiada tunggakan sehingga 31 Disember 2024 dan kami telah penuhi syarat tersebut.

“Baki tunggakan yang masih ada sekarang adalah untuk tiga bulan pertama tahun 2025, dan kami dalam proses menyelesaikannya,” ujarnya.

Sebelum ini, isu tunggakan gaji dibangkitkan oleh bekas penjaga gol musim 2024–2025, Khatul Anuar Abd Jalil, yang mempersoalkan bagaimana kelab berkenaan mendapat kelulusan penuh lesen sedangkan masih mempunyai bayaran tertunggak.

Khatul Anuar merupakan antara pemain yang belum ditemui dan dijangka menghadiri salah satu slot rundingan dalam masa terdekat.

Mengulas tekanan dan kritikan dari luar, termasuk daripada penyokong, Irwan berkata beliau menerima segala pandangan secara terbuka dan menganggapnya sebagai ruang untuk penambahbaikan.

“Saya tidak boleh bersikap negatif terhadap Kelantan. Saya kena bersedia dan menerima segala bentuk kritikan, sama ada pujian, kecaman atau pandangan.

“Kalau saya tidak bersedia, saya tidak akan berada di sini,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!