Maju ke hadapan terus memimpin dengan yakin

LONJAKAN ketara Malaysia 11 anak tangga dalam kedudukan Daya Saing Dunia IMD (World Competitiveness Ranking (WCR) daripada kedudukan ke-34 pada 2024 kepada ke-23 pada 2025 bukan sekadar peningkatan di atas kertas. Ia bukti kukuh pelaksanaan berkesan reformasi ekonomi Kerajaan Madani termasuk dari sudut fiskal, industri dan sosial.
Ranking Daya Saing Dunia IMD menilai keupayaan negara-negara untuk memupuk persekitaran menyokong daya saing perniagaan, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi merentasi empat kategori utama: Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur. Peningkatan ketara Malaysia dalam tiga daripada empat bidang terutama lonjakan ke tangga keempat dalam kalangan 69 ekonomi dalam Prestasi Ekonomi pencapaian besar.
MITI sewajarnya berbangga kerana reformasi perindustrian kita yang dilaksanakan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menyumbang kepada lonjakan dalam kedudukan dari segi sub faktor seperti Ekonomi Domestik (+20); Perdagangan Antarabangsa (+11); Pelaburan Antarabangsa (+2); Pekerjaan (+8); Rangka Kerja Institusi (+11); Perundangan Perniagaan (+4); Produktiviti & Kecekapan (+19) dan Pasaran Buruh (+11).
Walaupun masih banyak ruang penambahbaikan, peningkatan mendadak dalam kedudukan ini adalah pengesahan kukuh bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan betul dan secara beransur-ansur kita berjaya meningkatkan daya saing Malaysia di persada global.
Peranan penyelarasan MITI
Lonjakan daya saing ini bukanlah suatu kebetulan. Ia hasil usaha reformasi tersusun, terselaras dan kadangkala, sukar dari segi politik. Ia mencerminkan pendekatan tadbir urus yang bertanggungjawab di bawah rangka kerja Ekonomi Madani Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pelaksanaan cekap kementerian dan agensi ekonomi berkaitan termasuk MITI yang mengetuai pelaksanaan strategi reformasi perdagangan, pelaburan dan perindustrian Malaysia.
Agensi MITI, MPC juga giat menyelaras usaha menambah baik sub faktor WCR merentasi pelbagai kementerian dan agensi. Inti pati lonjakan ini adalah pendekatan lebih agresif dalam pembaharuan birokrasi dan fasilitasi pelaburan. Kepimpinan MITI dalam Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) bersama Kementerian Kewangan memacu usaha seluruh kerajaan menyelaras kelulusan pelaburan, mengurangkan beban birokrasi, memudahkan perjalanan pelabur dan memodenkan rangka kerja dasar ekonomi.
Tambahan pula, penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara, sebahagian Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam lebih luas (2024-2030) dan melibatkan lebih 1,000 inisiatif pembaharuan di peringkat Persekutuan dan negeri juga membantu mengurangkan halangan yang sebelum ini menyekat pelabur- pelabur.
Peningkatan dalam sub faktor perdagangan antarabangsa meningkat 11 anak tangga ke tangga ke-6 secara global juga merupakan bukti jelas akan hasil dasar yang disasarkan di bawah bidang kuasa MITI. Ini termasuk penambahbaikan strategi menarik pelaburan oleh Lembaga Pembangunan
Pelaburan Malaysia (MIDA) dan promosi perdagangan yang lebih mantap oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). Usaha kami dalam memajukan perjanjian serantau dan mempercepatkan penyertaan dalam rangka kerja ekonomi digital juga telah menyumbang kepada peningkatan kedudukan ini.
Pada masa sama, dalam dunia yang sedang berhadapan dengan peningkatan sikap perlindungan (protectionism), penjajaran semula geopolitik dan fragmentasi ekonomi, dasar berterusan Malaysia yang konsisten semakin dihargai oleh pelabur global.
Peningkatan daya saing ini juga merupakan sokongan kuat kepada NIMP 2030 bersama dasar-dasar sokongannya seperti Strategi Semikonduktor Negara dan Strategi Pelaburan Hijau yang kesemuanya mengutamakan industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi hijau dan ekonomi digital sebagai tonggak pertumbuhan masa depan. Pelaksanaan dasar-dasar tersebut telah pun mewujudkan hubungan lebih kukuh antara dasar perindustrian dan pebangunan bakat, insentif inovasi dan matlamat kelestarian.
Ranking sudah tentu bukanlah matlamat dasar itu sendiri tetapi ia penting. Ia berfungsi sebagai penanda aras keyakinan kepada pasaran global, pelabur asing dan institusi multilateral. Lonjakan sebanyak 11 kedudukan menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai destinasi perniagaan, terutamanya bagi syarikat multinasional yang mencari pasaran membangun yang berdaya tahan dan progresif di Asia. Ia juga mencerminkan bagaimana institusi Malaysia yang diperkasakan dengan keazaman politik, mandat dan kepimpinan yang tepat mampu melaksanakan agenda reformasi yang padu untuk negara.
Kekal momentum
Pencapaian ini tentunya perlu diraikan, tetapi kita tidak boleh cepat berpuas hati. Malah, kerja sebenar bermula sekarang. Walaupun prestasi ekonomi dan kecekapan perdagangan telah meningkat, masih terdapat bidang di mana
Malaysia masih ketinggalan terutamanya dalam keupayaan inovasi, produktiviti tenaga kerja, transformasi digital, amalan pengurusan dan sikaptenaga kerja. Mungkin ada keperluan untuk melengkapkan pembaharuan struktur dengan peningkatan modal insan dan perubahan budaya. Peralihan digital dan hijau global akan memerlukan Malaysia bukan sahaja mengguna pakai teknologi baharu tetapi juga memupuk generasi baharu pekerja mahir yang bersedia menghadapi masa depan.
Di sini juga peranan MITI penting. MITI akan terus bekerjasama rapat dengan agensi pendidikan dan sumber manusia untuk memastikan strategi perindustrian dipadan dengan pembangunan dan penyaluran bakat mantap. Inisiatif seperti program Akademi Dalam Industri oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), K-Youth di bawah Khazanah Nasional dan program peningkatan kemahiran di bawah HRD Corp mesti diperluas dan diintegrasi dengan lebih baik dalam agenda daya saing negara.
Untuk mengekalkan dan seterusnya meningkatkan kedudukan Malaysia, adalah wajar untuk mengambil inspirasi daripada amalan terbaik antarabangsa. Sebagai contoh penekanan Denmark terhadap kebolehsuaian tenaga kerja dan pembelajaran sepanjang hayat memastikan ekonominya kekal berdaya tahan dan responsif terhadap perubahan teknologi.
Sementara itu, pelaburan agresif Korea Selatan dalam ekosistem R&D dan inovasi telah meletakkannya sebagai peneraju global dalam pembuatan termaju dan semikonduktor. Malaysia harus mempertimbangkan untuk menerapkan elemen-elemen ini seperti percubaan kawal selia (regulatory sandbox) yang tangkas, geran inovasi berasaskan prestasi dan agenda pembelajaran sepanjang hayat nasional sebagai sebahagian daripada fasa pembaharuan daya saing seterusnya.
Ranking terkini menunjukkan Malaysia bukan sahaja mampu perbaiki kedudukan, tetapi juga jelas bersedia menerajui terutama dalam landskap geoekonomi hari ini. Mesej kami kepada dunia jelas dan konsisten: Malaysia serius mengenai pembaharuan ekonomi, terbuka untuk perniagaan dan bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.
Pendek kata, peningkatan daya saing Malaysia adalah fungsi keazaman politik dan kepimpinan teguh. Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila sesebuah kerajaan berani melakukan pembaharuan dan mengambil keputusan sukar tetapi perlu untuk kemakmuran masa depan Malaysia.
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!