Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian terima Anugerah Khas MPI-Petronas 2024

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Allahyarham Rozaid Abdul Rahman menerima Anugerah Khas sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI - Petronas 2024 (HKM 2024).
Anak sulungnya, Roz Ariffin Rozaid, 34, berkata, keluarganya menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga selain menyifatkan ia pengiktirafan penuh bermakna.
“Seandainya bapa masih hidup, beliau yang akan menerima penganugerahan ini memandangkan sudah 40 tahun berkecimpung dalam bidang kewartawanan.
“Dedikasi dan pengorbanannya dalam bidang ini memang tidak boleh disangkal lagi,” katanya kepada Sinar Harian ketika majlis berkenaan di sini pada Jumaat.
Allahyarham turut menerima Anugerah Khas Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada 14 Jun lalu.
Rozaid yang juga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) meninggal dunia di kediamannya di Putra Heights pada 18 Ogos tahun lalu akibat serangan jantung.
Sebelum ini, beliau pernah mengalami masalah kesihatan yang sama dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Allahyarham memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada 30 Disember 2022.
Semasa dalam tempoh perkhidmatan, Allahyarham sempat melancarkan portal berita bahasa Inggeris Kumpulan Karangkraf iaitu Sinar Daily.
Rozaid yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Wartawan veteran itu juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!