545 penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024, tertinggi dalam sejarah

Ainol Amriz Ismail
Ainol Amriz Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 545 penyertaan diterima Malaysian Press Institute (MPI) bagi anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI - Petronas 2024 (HKM 2024) yang akan berlangsung 20 Jun ini di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail berkata, jumlah itu tertinggi direkodkan pihaknya sejak anugerah berkenaan diperkenalkan pada 1980 dengan mencatatkan kenaikan 12 peratus berbanding 488 penyertaan yang diterima pada tahun lalu.

Menurutnya, jumlah penyertaan membabitkan 58 pertubuhan media itu juga membuktikan daya saing dan komitmen tinggi pengamal media tempatan dalam menghasilkan karya berkualiti.

"Peningkatan penyertaan ini menunjukkan bahawa media tempatan terus berusaha menghasilkan karya yang memberi impak positif kepada masyarakat.



"Kategori Kewartawanan Foto Terbaik mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 82 peratus, dengan 80 penyertaan diterima, sekali gus menjadi kategori dengan penyertaan tertinggi.

"MPI juga berbangga menerima penyertaan daripada organisasi media baharu yang pertama kali menyertai HKM, yang membuktikan matlamat kami untuk menarik penyertaan dari semua platform media telah tercapai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Ainol Amriz, kategori Berita Video Terbaik turut mendapat perhatian dengan 65 penyertaan, manakala kategori Bicarawara Video Terbaik pula sebanyak 46.

Peningkatan ini juga katanya, didorong oleh promosi agresif yang dilakukan MPI, termasuk kunjungan hormat ke organisasi media serta sesi taklimat pertama kali diadakan untuk memberi pencerahan mengenai HKM kepada pengamal media.

Beliau dalam masa sama turut memaklumkan pencalonan bagi Tokoh Wartawan Negara, Tokoh Media, dan Anugerah Khas akan dibuka pada awal Mac ini.

Artikel Berkaitan:

"Tarikh akhir pencalonan bagi ketiga-tiga kategori ini adalah pada 9 Mei depan," katanya.

Ujarnya lagi, pemenang akan menerima hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM450,000 tajaan Petronas.

HKM yang mula diperkenalkan kira-kira 45 tahun lalu bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik daripada pengamal media tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!