Karangkraf santuni mangsa tercedera, waris pelajar UPSI maut nahas bas di Gerik

Muhammad Nasir (tengah) menyantuni keluarga Allahyarham Nurly Sahirah di kediaman mereka baru-baru ini.
Muhammad Nasir (tengah) menyantuni keluarga Allahyarham Nurly Sahirah di kediaman mereka baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Karangkraf bersama Persatuan Anak Kelantan di Terengganu (Pakat) dan Persatuan Bekas Pelajar SMK Tengku Mahmud Besut baru-baru ini telah menyantuni mangsa dan waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meninggal dunia akibat kemalangan bas persiaran di Gerik, awal bulan lalu.

Antara keluarga mangsa yang diziarahi termasuklah ibu bapa Allahyarham Nurly Sahirah Azman, 23, yang ditemui meninggal dunia sambil memeluk senaskah al-Quran; Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 21, dan Nurul Farhana Abdul Azizi yang mengalami kecederaan akibat kemalangan terbabit.

Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, tujuan utama kunjungan mereka adalah untuk menziarahi dan bertanya khabar mangsa serta keluarga waris pelajar UPSI yang meninggal dunia itu.

Menurutnya, seorang kaunselor bertauliah turut dibawa bersama bagi memberikan motivasi dan kata-kata semangat kepada pelajar UPSI serta ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia selain menghulurkan sedikit bantuan kewangan.

Muhammad Nasir melihat sendiri al-Quran tulisan tangan ditulis oleh Allahyarham Nurly Sahirah.
Muhammad Nasir melihat sendiri al-Quran tulisan tangan ditulis oleh Allahyarham Nurly Sahirah.

"Hasil kunjungan selama dua hari itu, saya mendapati ramai pelajar dan keluarga mangsa yang terbunuh akibat kemalangan bas persiaran berkenaan masih memerlukan sokongan psikologi dan kewangan sama ada daripada individu perseorangan mahu pun agensi kerajaan.

"Sebagai contoh, keluarga Allahyarham Fatin Nasrien Fadli dikatakan terpaksa meminjam kereta jiran untuk pergi menguruskan jenazah anak mereka di Hospital Ipoh baru-baru ini kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Kematian Fatin amat memberi kesan kepada ibu bapanya kerana arwah merupakan anak sulung dan harapan utama keluarga susulan dirinya bakal menamatkan pengajian dalam bidang Sains dan Matematik pada Julai tahun depan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Turut serta dalam lawatan berkenaan adalah Pengerusi Pakat, Syed Zamri Syed Mohd Zain dan wakil Persatuan Bekas Pelajar SMK Tengku Mahmud Besut serta Kaunselor Berdaftar, Zakaria Zulkifli.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir berharap kerajaan dapat mencari mekanisme penyelesaian terbaik bagi mencegah kemalangan maut seumpama itu daripada berulang pada masa depan.

Muhammad Nasir (tiga dari kanan) menyerahkan naskhah al-Quran kepada salah seorang mangsa nahas.
Muhammad Nasir (tiga dari kanan) menyerahkan naskhah al-Quran kepada salah seorang mangsa nahas.

"Antara langkah-langkah boleh diambil kerajaan adalah dengan meningkatkan proses pemantau dan operasi pemeriksaan terhadap pengangkutan awam seperti bas persiaran dan bas ekspres yang digunakan untuk mengangkut orang awam.

"Langkah ini perlu bagi memastikan bukan hanya bas dalam keadaan baik dan selamat, malah semua pemandunya adalah kompeten dan mempunyai rehat mencukupi sebelum memulakan pemanduan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mewajibkan semua penumpang bas ekspres dan bas persiaran supaya mengambil insurans berkelompok sebelum memulakan perjalanan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kerajaan juga perlu memastikan semua pusat pemeriksaan kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam bebas daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Tindakan ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat keadaan kenderaan yang kurang selamat dan tidak layak berada di jalan raya," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!