KPM jamin akses pendidikan setiap murid di kawasan terpencil - Fadhlina

Fadhlina ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Malaysia Madani yang diadakan di Putrajaya pada Jumaat. - Foto: Bernama
Fadhlina ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Malaysia Madani yang diadakan di Putrajaya pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha memastikan akses pendidikan sampai kepada setiap murid, khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman dan terpencil.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu tidak boleh dilihat dari sudut penyediaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan pendidikan secara holistik.

“Kita mahu lihat bagaimana pembangunan anak-anak ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Akses pendidikan adalah hak semua murid tanpa mengira di mana mereka berada.

“Insya-ALLAH, dalam masa terdekat KPM sedang meneliti pelaksanaan sekolah terapung khusus untuk memberikan akses pendidikan kepada anak-anak kita di kawasan seperti Tasik Banding,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran Sekolah Angkat Madani, di sini pada Jumaat.

Menurut Fadhlina, pihaknya menyedari terdapat pelajar di kawasan berkenaan yang tidak mampu hadir ke sekolah akibat faktor geografi dan kekangan kos pengangkutan tinggi.

“Ada seketika, saya pergi ke sebuah daerah yang sangat jauh, terpaksa menaiki bot untuk ke sekolah dan kos boleh mencecah sehingga RM30 sehari bagi seorang murid. Situasi ini membebankan keluarga dan menyebabkan ada anak-anak yang terpaksa tercicir.

“Kalau mereka tidak mampu datang ke sekolah, maka kita perlu membawa sekolah kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan baharu kementerian bagi memastikan akses pendidikan lebih inklusif dan menepati keperluan sebenar komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

“Kita sedang melihat model terbaik dan memerlukan sokongan semua pihak untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Fadhlina menambah, pendidikan perlu dilihat melebihi aspek pembinaan fizikal, sebaliknya merangkumi sokongan menyeluruh kepada perkembangan murid termasuk kebajikan, sahsiah dan pembangunan insan.

“Kita bukan sahaja membina sekolah, tetapi membina masa depan anak-anak ini. Itu yang lebih penting,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!