Fadhlina nafi kenal ibu murid terlibat isu pergaduhan di Terengganu

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu pergaduhan membabitkan dua murid di sebuah sekolah di Terengganu, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan pada Isnin, beliau menegaskan bahawa tuduhan mengaitkan ibu kepada salah seorang murid terbabit dengan dirinya adalah fitnah yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
“Saya tidak pernah mengenali individu tersebut,” katanya ringkas.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengambil tindakan ke atas kes berkenaan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Buli dan Salah Laku yang sedang berkuat kuasa.
“Sebagai langkah susulan, saya turut mengarahkan Unit Integriti KPM untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Saya mengikuti rapat perkembangan isu ini dan mahu ia diselesaikan segera,” katanya lagi.
Fadhlina turut menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli atau salah laku, dan tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti bersalah.
“Semua institusi pendidikan mesti berada dalam keadaan yang selamat demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya.
Terdahulu, JPNT mengesahkan bahawa insiden yang tular di sebuah sekolah di negeri itu tidak melibatkan unsur buli seperti didakwa di media sosial, sebaliknya berpunca daripada salah faham antara dua murid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!