Sekolah Angkat Madani zahir komitmen ihsan bina negara

Anwar beramah mesra bersama para hadirin semasa hadir Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama para hadirin semasa hadir Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa program Sekolah Angkat Madani tidak boleh dilihat sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata, sebaliknya merupakan satu komitmen ihsan dan rasa tanggungjawab bersama antara sektor awam dan swasta dalam usaha membina negara.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi dan pelaburan yang memberangsangkan tidak bermakna jika masih terdapat rakyat yang hidup dalam kemiskinan dan terpinggir daripada arus pembangunan.

“Kita bercakap tentang belas ihsan apabila mereka mengambil tanggungjawab bersama untuk membina negara dan memastikan tiada siapa yang tercicir,” katanya semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar menjelaskan, penglibatan sektor swasta dalam program tersebut adalah antara usaha kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada kemajuan negara.

“Program ini sebahagian daripada pengisian konsep Madani yang kita perjuangkan. Ia bukan hanya retorik. 

"Kita mahu syarikat-syarikat besar seperti Petronas, TNB, MMC, Yinson, YTL dan banyak lagi benar-benar turun ke lapangan, bukan sekadar beri cek,” jelas beliau.

Tambah Anwar, syarikat yang menyertai program itu bukan hanya ditugaskan menaja kemudahan sekolah angkat, malah disarankan untuk turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Saya minta, kalau boleh, CEO dan pengurus syarikat turun sekurang-kurangnya dua kali setahun ke sekolah angkat mereka. Perkenalkan diri kepada pelajar, bawa jamuan sedikit, ceritakan bagaimana pendidikan boleh mengubah masa depan,” katanya.

Menurutnya, kehadiran tokoh industri ke sekolah mampu menjadi pemangkin motivasi kepada pelajar untuk lebih berjaya dan mencontohi kejayaan mereka.

“Syarikat-syarikat ini bukan hanya perlu beri wang, tetapi juga sentuhan manusia. Apabila pelajar lihat siapa yang datang ke sekolah, mereka akan rasa dihargai dan berminat untuk mencontohi kejayaan orang tersebut,” katanya lagi.

Sekolah Angkat Madani adalah kesinambungan komitmen kerajaan untuk menggerakkan pendekatan holistik dalam merapatkan jurang pendidikan. 

Program ini memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah; program akademik dan bimbingan murid; latihan serta pembangunan profesional guru; bantuan kewangan dan biasiswa serta program pembangunan sahsiah dan kemahiran.

Setakat ini, sebanyak 1,000 sekolah di seluruh negara terpilih mengikuti program berkenaan membabitkan penyertaan serta sokongan daripada 32 syarikat swasta, 29 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), 29 agensi kerajaan serta 27 syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Anwar turut memaklumkan bahawa sambutan terhadap inisiatif  itu sangat menggalakkan, dengan syarikat-syarikat kerajaan dan swasta menunjukkan kesediaan luar biasa untuk terlibat.

“Bermula dengan sasaran 300 sekolah, kita naikkan kepada 500 dan kini kita berjaya capai 1,000 sekolah,” katanya.

Beliau juga memuji sikap terbuka para guru yang menyambut baik penglibatan sektor luar dalam sistem pendidikan.

“Guru-guru kita berlapang dada dan bersedia menerima input baharu. Tidak ada yang kata ‘jangan ganggu kami, kami dah tahu semua’. Sikap mereka sangat baik,” katanya.

Menurut Anwar, program itu merupakan kesinambungan kepada pendekatan bantuan ‘kampung angkat’ sebelum ini, dan kini diperluas kepada sekolah, termasuk sekolah di pedalaman dan pulau.

“Ada syarikat yang pilih sekolah yang tiada kaitan langsung dengan kawasan projek mereka. Contohnya Petronas bantu Sekolah Menegah Kebangsaan Paloh di Gua Musang, Kelantan; dan UEM bantu Sekolah Kebangsaan Tok Sera di Pahang. Ini bukti mereka benar-benar ingin menyumbang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!