KPN pilih kampung ibu sebagai Kampung Angkat Madani 2025

KUALA PILAH – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memilih kampung ibunya iaitu Kampung Parit Seberang di sini sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya.
Beliau berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur kampung terbabit.
Menurutnya, program tersebut selaras dengan matlamat memperkukuh prasarana dan memenuhi keperluan asas penduduk luar bandar di kampung terpilih.
“Pemilihan ini dibuat berdasarkan penilaian tahap kemudahan di bawah 50 peratus atau prasarana tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus.
“Saya amat berbesar hati atas pemilihan kampung ini, tambahan pula ‘omak sey oghang sini’, jadi ini amat dekat di hati saya,” katanya ketika berucap pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 Ketua Polis Negara di Kampung Parit Seberang di sini pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof; Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.
Razarudin berkata, program itu turut melibatkan tiga kampung lain di bawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit Seberang iaitu Kampung Parit Mainau, Kampung Parit Mungkal dan Kampung Parit Istana, dengan keluasan keseluruhan 3.3 kilometer persegi dan jumlah penduduk sekitar 300 orang.
“Antara projek yang dicadangkan termasuk pembaikan bangunan, landskap dan pagar keliling surau.
“Turut dilaksanakan baik pulih jalan raya dan kerja-kerja menurap jalan tar, penambahbaikan balai raya serta pemasangan 20 unit lampu solar di kawasan sekitar kampung,” katanya.
Ujar beliau, program tersebut bukan sahaja menyasarkan pembangunan fizikal, malah menekankan aspek kemasyarakatan melalui kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan universiti awam.
“Besar harapan saya agar usaha kerajaan ini dimanfaatkan sepenuhnya demi keselesaan dan kesejahteraan komuniti setempat,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Parit Seberang, Hasnan Abd Malek berkata, penduduk kampung berbesar hati atas kesudian Razarudin menjadikan Kampung Parit Seberang sebagai Kampung Angkat Madani di bawah seliaannya.
Beliau berkata, banyak pembaharuan dan pembaikan dijalankan di bawah program itu melalui peruntukan RM1 juta.
Selain itu, katanya, menjadi Kampung Angkat di bawah Ketua Polis Negara turut memberikan beberapa kelebihan keselamatan, terutamanya apabila ibu beliau sendiri menetap di sini.
“Dengan kehadiran anggota polis yang meronda pada waktu siang dan malam di sini secara tidak langsung mewujudkan rasa selamat dalam kalangan penduduk.
“Boleh dikatakan keadaan di sini sifar jenayah, jika ada kes pun hanya melibatkan kes kecil seperti kecurian pisang dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!