IFiRST sedia sokongan perniagaan lestari kepada PKS, syarikat peringkat pertengahan

Dari kiri: Mohd Muazzam, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmir Diron dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir sewaktu penganjuran sulung Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Dari kiri: Mohd Muazzam, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmir Diron dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir sewaktu penganjuran sulung Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan penyelesaian pembiayaan terbaharu dikenali sebagai IHSAN Financing for Business Resilience, Sustainability and Green Transition (IFiRST) bagi memperkasa perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat bersaiz pertengahan.

Ia dilancarkan bersempena Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, IFiRST merupakan penyelesaian pembiayaan untuk memperkasa perniagaan dan menerapkan amalan lebih lestari selain berdaya tahan.

Menurutnya, inisiatif tersebut menyediakan sokongan dan akses saksama selain membolehkan perniagaan bergiat aktif dalam peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

“Penyelesaian pembiayaan baharu ini mencerminkan usaha Bank Islam ke arah peralihan yang saksama dan inklusif, merentasi kesemua segmen ekonomi.

“Dengan membolehkan amalan lebih hijau di segenap rantaian nilai, kami bukan sahaja menyokong perniagaan besar tetapi juga perniagaan kecil dan rakan ekosistem yang memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon.

“IFiRST secara strategik menumpukan kepada sektor intensif karbon, menggabungkan akses ke kemudahan seperti Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) Bank Negara Malaysia.

“Pendekatan bersepadu ini membantu perniagaan mengatasi halangan kewangan dan operasi dalam perjalanan lestari mereka bagi memastikan tiada pemegang taruh yang ketinggalan,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Mohd Muazzam, pelancaran IFiRST mengukuhkan lagi kepimpinan Bank Islam sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berpandukan matlamat, kini berusaha menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam penawaran terasnya.

Jelas beliau, sejajar dengan nilai-nilai syariah kerana IFiRST mencipta nilai bersama pelanggan, pemegang taruh dan alam sekitar sambil memperkukuh pengurusan risiko selain membuka ruang baharu pertumbuhan aset mampan serta bertanggungjawab.

Tambahnya, setakat Disember 2024, Bank Islam telah mencapai 93 peratus daripada sasaran Tahun Kewangan 2025 (FY2025) yang disemak semula iaitu RM28 billion dalam aset dan kewangan mampan sekali gus menunjukkan pengukuhan momentum terhadap peningkatan pasaran.

Beliau berkata,kemajuan itu didorong oleh tawaran berimpak seperti Akaun Pelaburan Lestari Ihsan (ISIA), SME SMART Eco Financing Programme-i (ECO) dan akses kepada LCTF.

“Bank Islam berusaha untuk menjadi rakan strategik dalam membantu pelanggan kami bersedia mendepani masa depan melalui khidmat nasihat, penyelesaian pembiayaan lestari dan platform perkongsian pengetahuan.

“Ketika industri mempercepat peralihan mereka ke arah masa depan rendah karbon, Bank Islam memainkan peranan penting dalam menggerakkan modal untuk memperkasa amalan penyelesaian dan teknologi hijau sektor korporat serta perniagaan.

“Usaha ini akan meningkatkan daya tahan ekonomi dan menyokong Malaysia dalam menepati matlamat iklimnya,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!