Tubuh pasukan khas penyamar, siasat rasuah lindungi PATI

Pasukan khas penyamar perlu ditubuhkan bagi membanteras kegiatan rasuah membabitkan usaha melindungi PATI yang kini semakin sukar dikesan secara terbuka. Gambar kecil: Hakim Hafizi
Pasukan khas penyamar perlu ditubuhkan bagi membanteras kegiatan rasuah membabitkan usaha melindungi PATI yang kini semakin sukar dikesan secara terbuka. Gambar kecil: Hakim Hafizi
A
A
A

SHAH ALAM – Pasukan khas penyamar perlu ditubuhkan bagi membanteras kegiatan rasuah membabitkan usaha melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini semakin sukar dikesan secara terbuka.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, pasukan itu boleh dilatih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai ejen penyamar dalam sektor tertentu bagi mengesan kes rasuah secara langsung.

Menurutnya, pendekatan tersebut bertujuan memerangkap pemberi dan penerima rasuah dalam situasi sebenar tanpa disedari mana-mana pihak.

“Perkara ini membolehkan kita memerangkap kedua-dua pemberi dan penerima rasuah dalam situasi sebenar.

“Dalam kes pekerja kilang yang dituduh memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi pekerja asing di pusat hiburan, berkemungkinan juga pihak majikan terlibat atau bertindak sebagai dalang kerana permit dan pengambilan pekerja asing biasanya dikendalikan oleh mereka.

“Namun, tanpa bukti konkrit, ia tetap dianggap spekulasi. SPRM perlu siasat sama ada wujud arahan daripada pihak atasan. Jadi, saya yakin cadangan tersebut mampu mematahkan rangkaian rasuah dari peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, tiga pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, pada Selasa atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Imigresen bagi melindungi pekerja warga asing di pusat hiburan di Kluang, lima bulan lalu.

Tertuduh, Gan Chi Qian, 25; Lai Yee Keong, 42; dan Wong Kent Sing, 51, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, kes rasuah yang berlaku mencerminkan sesuatu yang serius dan merupakan ‘barah’ utama terutama dalam pengurusan pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

“Ini amat menakutkan. Jika pekerja asing tidak dikawal, ia boleh membawa kepada aktiviti jenayah seperti penyeludupan, pengedaran dadah, kegiatan pelacuran dan banyak lagi.

“Bukan itu sahaja, dari segi ekonomi pula, jika dibiarkan atau melindungi mereka ini, ia akan mengurangkan peluang pekerjaan tempatan, mengelak cukai dan merugikan hasil negara,” ujarnya.

Beliau mengulas lanjut bahawa rakyat kini mahukan hasil siasatan yang lebih konkrit dan berimpak tinggi, terutama apabila melibatkan kes yang memberi kesan kepada keselamatan negara dan integriti agensi penguat kuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!