[VIDEO] SST: Kerajaan akan beri penjelasan elak kekeliruan - PM
ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan memperjelaskan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penjelasan lebih menyeluruh akan diberikan susulan kekeliruan orang ramai selepas senarai barangan yang dikenakan cukai itu dikeluarkan baru-baru ini.
“Kita akan beri penjelasan. Kadang-kadang kenyataan umum seperti menyebut pisang dikenakan SST telah menimbulkan kekeliruan, sedangkan ia merujuk kepada pisang import.
“Saya setuju kita perlu perjelaskan perkara ini kerana yang penting ialah kita tidak mahu membebankan golongan bawahan atau kumpulan M40.
"Sebab itu, kita cadangkan (SST) ke atas buah-buahan import tetapi ada yang mengatakan buah import pun ada yang dimakan oleh orang miskin tetapi saya fikir itu boleh kita tangani, maknanya carilah kaedah, makanlah buah tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan bersama Presiden Keadilan di sini pada Khamis.

Ditanya sama ada pelaksanaan semakan SST itu dikaji semula, Anwar menafikannya, namun tiada masalah untuk mengubah beberapa perkara yang dibangkitkan.
“Tidak (kajian semula), tetapi kita akan beri penjelasan terhadap perkara yang mengelirukan. Contohnya, ramai yang marah tetapi belum meneliti senarai penuh. Jadi saya cadangkan kita baca dulu.
"Kalau perlu satu dua perkara ubah suai, tiada masalah kita boleh ubah suai tetapi cukai ni memang tidak mudahlah. Semua orang kalau boleh tak mahu bayar.
“Namun, hasil cukai digunakan untuk tingkatkan kemudahan pendidikan, membantu golongan miskin dan perkhidmatan hospital,” jelasnya.
Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar SST yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025.
Kadar cukai jualan kekal bagi barangan keperluan, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tidak penting atau mengikut budi bicara.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin menyifatkan keputusan untuk melaksanakan SST ke atas buah-buahan import sebagai tidak rasional kerana ia turut memberi kesan kepada pengguna berpendapatan rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

