Hilang suami, bayi selepas habis pantang bersalin

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang baru masuk ke tempat kerja selepas tiga bulan cuti bersalin diuji dengan kehilangan suami dan bayinya berusia tiga bulan.
Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila suaminya, Nurul Effendy Ibrahim, 35, yang mengalami serangan jantung ketika menjaga bayi mereka, secara tidak sengaja terhempap ke muka bayi sehingga menyebabkan bayi itu lemas.
Wanita kepada tiga cahaya mata, Azura Abdul Malik Yaher, 40, menyedari insiden itu ketika pulang ke rumah untuk membawa bayinya, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy mendapatkan suntikan bayi tiga bulan.
Azura berkata, setiba di rumah, dia ketuk pintu rumahnya berkali-kali tapi tiada sahutan.
"Saya akhirnya panjat masuk dari tingkap belakang dan bila masuk ke dalam bilik tidur saya lihat kedua-dua yang berada di atas katil dan mereka tidak sedarkan diri.

"Ketika itu saya mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya dan masa kejadian bayi saya masih bernyawa namun keadaannya begitu lemah," katanya.
Tambahnya, bagaimanapun setakat ini dia masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dua insan tersayang.
Jelasnya, terus bergegas ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka namun malangnya anak bongsunya itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

